Legenda bola sepak Itali, Andrea Pirlo, dilaporkan semakin hampir dilantik sebagai ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan Itali menerusi kontrak selama empat tahun.
Menurut laporan akhbar La Repubblica, Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) telah mencapai persetujuan dengan bekas pemain tengah berusia 47 tahun itu untuk mengambil alih tugas membimbing Azzurri.
Setakat ini, FIGC belum mengeluarkan pengesahan rasmi mengenai pelantikan tersebut, manakala Reuters turut menghubungi badan induk itu bagi mendapatkan komen.
Pirlo merupakan antara pemain tengah terbaik dalam sejarah bola sepak dan menjadi tonggak utama Itali ketika menjulang Piala Dunia 2006. Sepanjang kariernya, dia turut mencipta nama bersama Inter Milan, AC Milan dan Juventus.
Ketika ini, Pirlo mengendalikan kelab Dubai United yang beraksi dalam Liga Divisyen Pertama Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Pengalaman kejurulatihan Pirlo di peringkat tertinggi hadir bersama Juventus pada musim 2020-21 apabila beliau berjaya menghadiahkan dua trofi buat kelab gergasi Turin itu menerusi kemenangan dalam Coppa Italia dan Piala Super Itali.
Laporan mengenai persetujuan bersama Pirlo hadir hanya beberapa jam selepas bekas pengurus Manchester City dan Barcelona, Pep Guardiola, dilaporkan menolak tawaran untuk mengendalikan skuad kebangsaan Itali.
Menurut sumber yang rapat dengan rundingan itu, Guardiola telah mengadakan perbincangan dengan FIGC, malah Presiden FIGC, Giovanni Malago, dikatakan bersedia menawarkan pakej kewangan yang fleksibel bagi mendapatkan khidmat jurulatih dari Sepanyol tersebut.
Namun, Guardiola memilih untuk tidak menerima tawaran berkenaan.
Selain Guardiola, FIGC turut dilaporkan menghubungi jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti, dalam usaha mencari pengendali baharu.
Itali sedang melalui antara fasa paling mencabar dalam sejarah bola sepak moden mereka selepas gagal layak ke tiga edisi Piala Dunia berturut-turut.
Kegagalan itu membawa kepada peletakan jawatan Gennaro Gattuso pada April lalu, sekali gus membuka ruang kepada pencarian jurulatih baharu.
Pelantikan pengendali baharu dilihat bukan sekadar untuk memperbaiki prestasi skuad senior, malah menjadi langkah pertama dalam usaha menyusun semula pembangunan bakat muda dan sistem akar umbi yang dikatakan semakin merosot dalam negara yang menjadikan bola sepak sebagai sebahagian daripada identiti nasional.
Sekiranya pelantikan itu dimuktamadkan, Pirlo bakal memikul tugas besar untuk mengembalikan Itali ke kelompok elit bola sepak dunia dan memastikan juara dunia empat kali itu kembali bersaing di pentas Piala Dunia akan datang.