Kemelut kepimpinan terdahulu menyebabkan pickleball terlepas peluang beraksi dalam Sukan SEA Malaysia 2027.
Kini, Presiden baharu Persatuan Pickleball Malaysia (MPA), Datuk Khoo Khiam Ping, menyasarkan sukan itu dipertandingkan dalam SUKMA Kelantan 2028 sebelum memburu slot ke Sukan SEA 2029 di Singapura.
Bagaimanapun, keutamaan ketika ini adalah untuk menyelesaikan isu penggantungan MPA oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) serta menyatukan semula semua pihak dalam persatuan itu.
MPA digantung pada 27 Februari lalu setelah dilapor terpalit dengan isu tadbir urus, termasuk ketidaktelusan dalam pengesahan keahlian gabungan dan ketidakpatuhan terhadap perlembagaan persatuan.
Khoo dipilih sebagai presiden baharu dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan pada awal bulan ini.
"Dalam Asia Tenggara ada 11 negara, jadi itu adalah hala tuju yang dapat saya lihat dan kami perlu memastikan hubungan baik dengan setiap negara," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Kami perlu mewujudkan satu pasukan yang kuat sebelum berbincang dengan Majlis Sukan Olimpik agar kami dapat disenaraikan dalam Sukan SEA.
"Kami tidak bernasib baik untuk Sukan SEA Kuala Lumpur ini kerana jendelanya telah ditutup pada Julai lalu.
"Jika kami bergerak dalam satu pasukan yang kuat, ada kemungkinan untuk pickleball dipertanding dalam Sukan SEA Singapura 2029."