Bergelar atlet kebangsaan dan mewakili negara pastinya menjadi impian setiap atlet muda.
Bagi Nadine Wong Sher Ann, impian itu berjaya direalisasikan selepas lebih enam tahun bersama skuad gimnastik berirama kebangsaan.
Namun, atlet berusia 15 tahun itu mengambil keputusan untuk mengundur diri daripada skuad negara bagi memberi tumpuan kepada satu lagi keutamaan penting dalam hidupnya iaitu pendidikan.
Jadual latihan yang padat menyukarkan Nadine mengimbangi komitmen sebagai atlet dengan persiapan menghadapi peperiksaan IGCSE.
Meskipun meninggalkan gimrama, minatnya terhadap sukan tidak pernah pudar.
Awal tahun ini, Nadine memilih pickleball sebagai sukan baharu yang membolehkannya kekal aktif, pada masa sama menguruskan komitmen akademik dengan lebih seimbang.
Penyertaan dalam Siri Kedua Kejohanan Pickleball Next-Gen Kidsnergy 2026 pula hadir dengan satu misi peribadi -- memburu podium pertama dalam karier baharunya itu.
Kini, Nadine memasang impian baharu untuk bergelar atlet pickleball profesional.
Perjalanan itu bagaimanapun tidak dilaluinya sendirian apabila sokongan penuh kedua-dua ibu bapanya, Nick Wong dan Megan Yeoh, terus menjadi sumber kekuatan.
Bagi mereka, kejayaan Nadine bukan hanya diukur menerusi pencapaian dalam sukan, sebaliknya turut merangkumi kecemerlangan dalam akademik.
Daripada pentas gimnastik berirama ke gelanggang pickleball, Nadine kini membuka lembaran baharu -- dengan impian untuk terus berkembang dan membuktikan bahawa minat terhadap sukan serta pendidikan mampu bergerak seiring.