Perseorangan badminton profesional lelaki negara, Cheam June Wei, sedia mencurahkan bakti dalam Piala Thomas andai khidmatnya masih diperlukan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Dia bersedia sepenuhnya menggunakan pengalaman yang ada untuk membantu skuad negara menamatkan kemarau 34 tahun kejuaraan Piala Thomas yang kali terakhir dimenangi pada edisi 1992.
Advertisement
Bagaimanapun, dia mengakui segala keputusan tersebut terletak di tangan BAM untuk menentukannya.
Jika diberi peluang, June Wei turut mahu berada di posisi perseorangan lelaki ketiga yang dijangka bakal digalas Lee Zii Jia.
Dia menjelaskan perseorangan lelaki ketiga menuntut darjah ketenangan yang tinggi dan 'attacking play' merupakan antara senjata yang diperlukan untuk menang.
"Daripada segi pengalaman, saya rasa saya okay dan bersedia.
"Ia bergantung kepada pihak BAM terutamanya barisan kejurulatihan.
"Saya sedikit berusia, jadi mungkin mereka mahu memberi pendedahan kepada yang lain.
"Saya takkan mengganggu dan akan menghormati keputusan mereka.
"Bermain selaku perseorangan ketiga memiliki tekanan berbeza.
"Saya tidak pasti tetapi mungkin pengalaman saya dapat membantu sedikit kem negara," katanya.