Skip to main content

Badminton

Piala Thomas: Bedah siasat hadapi Sukan Asia -- Rexy Mainaky

j

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, menegaskan skuad lelaki kini di landasan tepat meskipun tersingkir di peringkat suku akhir Piala Thomas kepada juara bertahan China, malam tadi.

Juara bertahan itu terus menghantui skuad negara buat kali kedua berturut-turut menerusi kemenangan 3-0 di Horsens, Denmark, dengan perseorangan negara, Leong Jun Hao, disusuli Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu) dan Justin Hoh (perseorangan) tumbang satu persatu.

Advertisement

Rexy mengakui anak buahnya tidak berada di tahap terbaik dalam usaha mengekang China, terutama kegagalan mengulangi prestasi ketika membenam Jepun untuk mengungguli Kumpulan B, dua hari sebelumnya.

"Dari peringkat kumpulan, kami mampu ke kalah mati cuma tidak bernasib baik.

"Bukan bermakna mengungguli peringkat kumpulan, kami akan berdepan undian mudah dalam pusingan suku akhir.

"Kami perlu nilaikan semula mengapa prestasi kami merosot pada hari ini terutama berbanding bertemu Jepun.

 

 

 

"Hari ini ada penampilan yang lebih baik daripada Jun Hao. Namun, prestasi Aaron-Wooi Yik hanya nampak baik dalam set pertama dan China mendominasi dalam set kedua.

"Kami sudah cuba melakukan yang terbaik, kami kalah kepada pasukan terbaik, China," katanya.

Rexy menegaskan satu bedah siasat akan diadakan demi kebangkitan menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya September depan.

"Ini acara berpasukan dan kami harus peka daripada segi tiada lawan yang mudah, tetapi fokusnya adalah memantapkan pasukan dari peringkat kumpulan hingga kalah mati.

"Dalam tempoh dua tahun lagi -- ini tidak boleh terjadi -- kami harus sedar bahawa perlu melakukan yang lebih baik dalam Sukan Asia," katanya lagi. 

Must Watch Video