Penglibatan pasangan kembar, Qaish Adry Khairun Nasir dan Qayl Aidan Khairun Nasir, dari Sekolah Kebangsaan Taming Jaya, Seri Kembangan, Selangor terus mengangkat Kelab Silat Olahraga Wira Titiwangsa (KSOWT) apabila meraih pingat perat kategori ganda (dini putra) di Stadium Titiwangsa semalam.
Penyertaan pasangan kembar ini turut memberikan kelainan kepada kontinjen KSOWT, dengan kerjasama, keserasian pergerakan dan disiplin menjadi antara elemen penting dalam persembahan kategori ganda.
Piala Sport School Junior Fighter (SSJF) 3.0 turut menyaksikan aksi cemerlang atlet daripada Indonesia, yang berjaya membawa pulang beberapa pingat menerusi persembahan bertenaga dalam kategori seni jurus remaja.
Atlet Kenzie Dzakwan Raviero Adelard mempamerkan prestasi membanggakan apabila berjaya meraih pingat emas dalam acara Remaja Putra Tunggal dan pingat perak dalam acara Remaja Putra Solo Kreatif.
Pencapaian tersebut memperlihatkan penguasaan teknik serta keupayaan beliau dalam dua kategori yang menguji kemahiran dan kreativiti dalam seni persilatan.
Sementara itu, seorang lagi wakil Silat Juara, Syifa Dzakiyah Mumtaz Wahyudi, turut mencatat kejayaan apabila memenangi pingat gangsa dalam acara Remaja Putri Tunggal.