Ketua jurulatih skuad sepak takraw wanita negara, Rashidi Nordin, percaya pasukannya sudah bersiap sedia bagi hadapi cabaran Piala Raja Thai 2026 di Bangkok, Thailand minggu depan.
Pengendali kelahiran Teluk Intan, Perak itu berkata pentas Piala Raja Thai 2026 bakal menjadi platform buat barisan kejurulatihan skuad negara untuk menilai prestasi semasa pasukan sebelum menyenaraikan skuad akhir yang akan menggalas cabaran Malaysia dalam Sukan Asia Aichi-Nagoya pada September depan.
"Sebagai persiapan, kami sudah mengadakan satu perlawanan persahabatan dengan Riau dan saya dapat lihat ada perkembangan positif," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
"Maknanya, pemain sudah bersedia daripada segi fizikal dan mental, cuma pada saat akhir ini, kami perlu memperbaiki kelemahan yang kami kenal pasti dalam perlawanan ujian itu.
"Kalau kita lihat, acara yang ada dalam Piala Raja Thai merupakan acara yang sama dalam Sukan Asia.
"Jadi, kami boleh menilai kekuatan lawan lain dalam kejohanan ini dan ia akan menjadi medan ujian sebelum kami menghadapi Sukan Asia."
Barisan pemain dan jurulatih skuad negara ditemui ketika majlis ringkas penyerahan barangan tajaan tambahan yang berlangsung di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil hari ini.
Untuk rekod, dalam Piala Raja Thai 2025, kem wanita negara sekadar menamatkan saingan di peringkat kumpulan bagi acara regu berpasukan dan kuadran.