Ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun, mengesahkan Malaysia bakal mempertaruhkan skuad kedua bagi menghadapi Kejohanan Piala Raja Thai 2026 di Bangkok, Thailand, dari 3 hingga 11 Ogos depan.
Ujarnya, hanya lima tonggak daripada skuad Piala Dunia ISTAF 2026 yang lalu akan disenaraikan termasuk tekong, Zarif Marican Ibrahim Marican dan Haziq Hairul Nizam; selain pelibas, Noraizat Nordin, Hafizul Hayazi Adnan serta apit kiri, Zuleffendi Sumari.
Lantaran itu, Ahmad Jais percaya pentas Piala Raja Thai mampu menjadi platform terbaik terutama buat barisan pemain muda dalam menimba pengalaman dalam saingan antarabangsa berintensiti tinggi.
"Kami sudah putuskan pemain yang tidak beraksi dalam Piala Dunia, seramai tujuh orang ditambah lima pemain Piala Dunia.
"Kami mereka menimba pengalaman bermain dalam keamatan yang tinggi.
"Ini satu platform untuk pemain muda diberikan pendedahan awal untuk bersiap sedia menggalas tugas negara yang akan datang," katanya kepada Nadi Arena, malam tadi.
Malaysia menyasarkan final bagi acara regu dan regu berpasukan sementara bagi skuad kuadran, sasarannya adalah untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas.
Dalam masa sama, chef-de-mission (CDM) Sukan Asia, Datuk Mohd Sumali Reduan, menyambut baik pelantikan bekas atlet skuasy kebangsaan, Mohamad Azlan Iskandar, dan bekas bintang boling tenpin negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi selaku timbalan CDM.