Malaysia muncul naib juara acara regu berpasukan Kejohanan Sepak Takraw Piala Raja Thai apabila tewas kepada tuan rumah, Thailand, 0-2 dalam aksi final di Bangkok sebentar tadi.
Menurunkan Zarif Marican Ibrahim Marican (tekong), Kamarul Ezzad Kamarul Imran (pengumpan) dan Noraizat Nordin (perejam) sebagai trio pemula dalam game pertama, Malaysia, bagaimanapun, mempamerkan permulaan perlahan dan ketinggalan sembilan mata dalam set pertama sebelum akur dengan kekalahan 7-15.
Dalam set kedua, gandingan negara mula mempamerkan penguasaan untuk mendahului pada awal permainan tetapi selepas lawan menyamakan kedudukan 9-9, mereka mula kelihatan hilang arah sebelum akur membenarkan Thailand memperoleh mata pertama dengan kemenangan 15-11.
Dalam usaha menterbalikkan situasi itu, skuad negara menurunkan Haziq Nizam (tekong), Zuleffendi Sumari (pengumpan) dan Hafizul Hayazi Adnan (perejam) dalam game kedua.
Malangnya, kehadiran gandingan itu masih belum mampu untuk menggugat keampuhan Thailand apabila tewas 9-15, 12-15 sekali gus memaksa Malaysia pasrah bergelar naib juara.