'Tiada istilah skuad kedua mahupun skuad B', tegas Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan, yang menaruh harapan tinggi untuk melihat kem kebangsaan mencipta keputusan positif dalam Kejohanan Piala Raja Thai 2026.
Meskipun pasukan lelaki negara dibarisi 50 peratus pemain muda, Sumali percaya Malaysia bukan bertandang ke Thailand sekadar untuk mengutip pengalaman, sebaliknya memburu gelaran juara dalam kejohanan yang bakal memasuki penganjuran edisi ke-39 tahun ini.
Dia turut gesa skuad wanita negara mencapai sasaran yang ditetapkan PSM iaitu mara ke separuh akhir bagi acara quadrant, regu berpasukan dan juga doubles, sekali gus memperbaiki prestasi edisi 2025 yang menyaksikan perjuangan anak buah Rashidi Nordin sekadar di peringkat kumpulan.
Kejohanan Piala Raja Thai 2026 dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 11 Ogos depan.
"Apabila kami menghantar pasukan ke kejohanan utama, kami akan sentiasa meletakkan barisan pemain yang terbaik," kata Sumali.
"Separuh daripada pasukan kali ini kami membawa pemain muda dan menjadikan peluang ini untuk mereka meraih pengalaman beraksi di pentas antarabangsa.
"Beraksi di Bangkok, sudah pasti mereka akan menghadirkan permainan terbaik di sana nanti."