Permata baru berbasikal trek negara, Sawda Hasbullah, terus membuktikan statusnya sebagai prospek kebangsaan selepas muncul juara acara pecut remaja dalam saingan Piala Presiden, sekali gus menambah koleksi kejuaraan peribadinya di pembukaan musim 2026 ini.
Pelumba berusia 18 tahun itu berdepan tentangan sengit daripada wakil Hong Kong, Xiong Qian, apabila dua pelumba saling terikat selepas masing-masing meraih kemenangan dalam dua perlumbaan awal.
Advertisement
Namun, keunggulan sebenar Sawda terserlah dalam perlumbaan penentuan untuk meraih kemenangan dengan catatan 12.361s (saat), sekali gus mengesahkan pingat emas menjadi miliknya.
Kejayaan itu hadir selepas Sawda terlebih dahulu menjuarai acara keirin, menjadikannya dua emas peribadi dalam kejohanan berprestij tersebut.
"Bagi saya tadi percubaan baik kerana saya jarang berada di belakang dan gunakan taktikal itu, ia pengalaman baru.
"Saya rasa banyak kesilapan tetapi taknikal baru itu menyebabkan saya berada di posisi di belakang kerana kebiasaannya saya mengawal perlumbaan." katanya.
Sementara itu, kem negara turut ceria dengan pencapaian Eirzam Eidham Che Mazri yang meraih pingat perak acara pecut lelaki junior.
Eirzam mencatatkan keputusan cemerlang dalam penampilan sulungnya bersama pasukan junior kebangsaan, dengan Piala Presiden menjadi perlumbaan rasmi pertamanya di peringkat antarabangsa.
Lebih manis lagi, Eirzam turut membawa pulang pingat emas acara keirin, menjadikan keseluruhan kempen Piala Presiden kali ini sebagai permulaan positif buat kariernya bersama skuad kebangsaan.