Kejohanan Gimnastik Berirama Antarabangsa Piala Petrina mencipta sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya dipertandingkan menggunakan Kod Pemarkahan FIG Kitaran Ke-16 (2025–2028).
Perubahan itu dilihat sebagai langkah penting dalam memastikan atlet tempatan mengikuti perkembangan terkini sukan gimnastik berirama di peringkat antarabangsa.
Menurut Timbalan Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia, Petrina Low, pelaksanaan kod pemarkahan baharu itu memberikan cabaran besar kepada semua peserta, khususnya gimnas muda yang masih dalam proses menyesuaikan diri dengan kehendak serta standard pemarkahan terkini.
Katanya, penekanan yang lebih tinggi terhadap aspek teknikal, artistik dan kualiti persembahan menuntut atlet serta jurulatih melakukan penyesuaian dalam tempoh singkat.
Dalam masa sama, kejohanan tersebut turut menjadi medan persiapan terakhir buat gimnas yang bakal membawa cabaran negeri masing-masing pada SUKMA Selangor, yang dijadual membuka tirai bermula 15 Ogos depan.
Pihak penganjur percaya pendedahan kepada sistem pemarkahan baharu itu mampu membantu atlet mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum menghadapi temasya dwitahunan berkenaan.
Dengan penyertaan atlet dari dalam dan luar negara, Piala Petrina terus mengukuhkan reputasinya sebagai platform penting dalam pembangunan gimnas muda serta meningkatkan daya saing Malaysia di pentas antarabangsa.