Persaingan Liga Bola Sepak Piala Menteri Pendidikan Malaysia Bawah 14 Tahun 2026 dengan rakan strategik 100PLUS semakin memuncak dalam memburu tempat ke peringkat suku akhir.
Enam pasukan telah pun layak, hanya dua sahaja lagi slot yang tinggal dan menjadi rebutan lima pasukan yang terpaksa menanti perlawanan terakhir peringkat kumpulan.
Aksi kumpulan A nyata milik SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman yang sah mara ke suku akhir selepas menang tipis 1-0 ke atas SMK Gunung Rapat.
Perlawanan yang berlangsung di Ipoh pada Sabtu, Muhd Aqiff Naufal Mohd Syahrul muncul wira sekaligus memastikan tiga mata penting milik SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman.
SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman mara ke suku akhir, mengumpul 13 mata dan berada di tangga kedua. Kejayaan itu sekali gus mengecewakan SMK Mutiara Impian yang turut mengumpul 13 mata selepas turut mencatat kemenangan 1-0 ke atas SMK Syed Hassan, namun terpaksa berpuas hati di tangga ketiga selepas dipisahkan menerusi beza jaringan.
Pengendalinya, Muhd Hafiz Husin, walaupun satu gol, fokus utama pasukan adalah mendapatkan kemenangan.
“Walaupun kami hanya menang 1-0, kemenangan ini tetap sangat penting. Dari segi jaringan, memang jumlah gol penting untuk membantu kami melangkah ke suku akhir, tetapi perkara paling utama adalah kemenangan.
“Anak-anak buah saya telah memberikan yang terbaik untuk memastikan kemenangan menjadi milik pasukan,”kata Hafiz
SMK Shah Alam kekal ditangga teratas, turut meraih 13 mata selepas lima perlawanan namun dibezakan dengan jumlah jaringan dan beraksi kurang satu perlawanan.
Kumpulan D pula menyaksikan persaingan melibatkan tiga pasukan iaitu SMK Putera, Akademi Mokhtar Dahari B14 (AMD B14) dan SMK Ibrahim Fikri.
SMK Putera mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas SMK Seberang Temerloh sekaligus berada di tangga teratas dengan 10 mata daripada empat perlawanan.
Manakala AMD B14 menewaskan SMK Bukit Nenas 2-1 untuk mengumpul sembilan mata selepas tiga perlawanan dan SMK Ibrahim Fikri berada di tempat ketiga dengan tujuh mata daripada empat perlawanan.
Ketua jurulatih SMK Putera Rizalman Hassan, kedudukan pasukannya samada layak atau sebaliknya bergantung kepada pasukan AMD B14.
“Alhamdulillah, kami mendapat tiga mata yang penting. Sekarang kami berada di penghujung liga dan segala-galanya akan ditentukan menerusi perlawanan terakhir, di mana kami akan menentang pasukan Akademi Mokhtar Dahari (AMD).
“Matlamat utama kami adalah untuk menjadi juara kumpulan terlebih dahulu. Itu sasaran pertama kami. Namun, segala-galanya bergantung kepada keputusan perlawanan melibatkan AMD kerana mereka masih mempunyai dua perlawanan, manakala kami hanya berbaki satu perlawanan.
“Sekiranya kami sekurang-kurangnya mampu mendapatkan keputusan seri ketika menentang AMD, kami berpeluang untuk muncul juara kumpulan. Itu yang menjadi harapan saya.”kata Rizalman
Dua keputusan ini sekaligus membentuk persaingan bagi perebutan dua tempat teratas semakin sengit, dengan AMD B14 mempunyai kelebihan kerana masih mempunyai lebih banyak baki perlawanan berbanding dua pencabar terdekatnya.
Beralih ke Kumpulan B, SMK Seri Titiwangsa melakar kemenangan 4-0 ke atas SMK Putrajaya Presint 8(1) untuk terus mempamerkan penguasaan mutlak dan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kesemua empat perlawanan.
Keputusan itu mengesahkan SMK Seri Titiwangsa sebagai juara Kumpulan B, dan perhatian tertumpu kepada perebutan tempat kedua sekaligus ke suku akhir diantara SMK Taman Desa Skudai B14 B dan SMK Seksyen 11.
Dalam Kumpulan C, rekod kemenangan 100 peratus SMK Taman Desa Skudai akhirnya berkecai selepas tewas 0-1 kepada SMK Seri Kota.
Namun ia tidak menjejaskan kedudukan mereka sebagai pendahulu kumpulan apabila sudah mengumpul 12 mata daripada lima perlawanan dan masih kekal sebagai juara kumpulan.
Kemenangan penting itu pula membolehkan SMK Seri Kota memintas Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) untuk menduduki tangga kedua dengan 12 mata, sekali gus mengesahkan tempat ke suku akhir.
Meskipun mencatat kemenangan besar 6-0 ke atas SMK Datuk Peter Monjuntin, kutipan mata semasa tidak lagi mencukupi untuk SSTMI memintas dua pasukan teratas yang sudah mengesahkan kemaraan.
Satulagi aksi kumpulan C menyaksikan SMK Zaba menewaskan Akademi Mokhtar Dahari B13 dengan keputusan 2-0.
Keputusan Perlawanan Liga Piala Menteri Pendidikan Malaysia B14 2026
Kumpulan A
SMK Gunung Rapat 0-1 SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman
SMK Mutiara Impian 1-0 SMK Syed Hassan
Kumpulan B
SMK Putrajaya Presint 8(1) 0-4 SMK Seri Titiwangsa
Kumpulan C
Akademi Mokhtar Dahari B13 0-2 SMK Zaba
SMK Taman Desa Skudai 0-1 SMK Seri Kota
SMK Datuk Peter Monjuntin 0-6 SSTMI
Kumpulan D
SMK Bukit Nenas 1-2 Akademi Mokhtar Dahari B14
SMK Putera 1-0 SMK Seberang Temerloh