Pasukan dari Liga A1 Semi-pro, Perak, mengejutkan pasukan kelompok atasan Liga Super, Kuala Lumpur City, dengan kemenangan 2-0 dalam perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Manjung malam tadi.
Dalam perlawanan itu, The City Boys dikejutkan dengan jaringan Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Azmil seawal minit ke-11 gara-gara satu gerakan serangan balas yang dijana pasukan bimbingan Syamsul Saad itu.
Advertisement
Selepas itu, KL City merangkai deretan percubaan ke kubu Perak tetapi corak bertahan yang digunakan tuan rumah jelas memberikan kesukaran sehingga ke bilik persalinan.
Di sebalik tekanan berterusan yang diberikan pelawat, Perak berhasil menambah satu lagi jaringan menerusi pemain pertahanan, Fadhil Azmi, yang melompat tinggi untuk menanduk masuk bola daripada sepakan percuma Ahmad Daniel Hakimi pada minit ke-54.
Selepas itu, Perak kembali bertahan sehingga ke wisel penamat untuk mengekalkan kelebihan mereka menjelang aksi timbal balik di Cheras hujung minggu ini.