Ketua jurulatih Perak, Syamsul Saad, meluahkan rasa bangga dan bersyukur apabila pasukan muda bimbingannya berhasil mengejutkan Kuala Lumpur City dengan kemenangan 2-0 dalam perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Manjung malam tadi.
Ini kerana pasukannya dibentuk daripada skuad Sukma dan skuad B-23 Perak tetapi masih mampu untuk memberikan saingan kepada pasukan elit Liga Super seperti KL City.
Advertisement
Baginya, rekod di atas kertas jelas memihak KL City, yang dianggap pasukan sempurna berbanding mereka, tetapi Perak sentiasa memiliki potensi untuk berkembang lebih jauh.
"Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada semua pemain kerana mereka melakukan kesemua yang kami rancang," katanya selepas perlawanan itu.
"Kami sedar tiada cara lain melainkan hanya dengan berjuang. Kita tahu KL memang pasukan sempurna dari bawah sampai ke atas.
"Tetapi saya tahu semua pemain telah memberikan 100 peratus dan mengerahkan tenaga dan kami di luar ini juga amat terharu dengan perjuangan mereka.
"Kami mencuba untuk usahakan sesuatu agar dapat membuktikan kepada peminat bola sepak Perak bahawa kita masih ada sinar."
Mengulas lanjut, Syamsul menambah: "Memang dari awal pasukan kami dibentuk daripada pasukan Sukma dan kebetulan skuad B-23 kami juga tiada pasukan, jadi pasukan ini adalah gabungan pasukan B-20 dan 23 Perak.
"Memang sejak ditubuhkan semula, hala tujunya adalah untuk membangunkan semula pasukan ini dan sejauh mana pun kami pergi, kami akan mencuba mengekalkan pemain sedia ada."