Selangor melakar kebangkitan ketika menewaskan Kelantan TRW 2-1 dalam aksi pertama saingan Piala Malaysia musim 2025/26 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV sebentar tadi.
Kelantan TRW dan Selangor bermula garang dengan melancarkan beberapa serangan balas berbahaya ke arah gawang lawan masing-masing pada awal babak pertama aksi.
Advertisement
Gol pembukaan perlawanan berjaya diraih tuan rumah pada minit ke-25 menerusi Simen Lyngbo hasil bantuan jaringan cantik oleh Syafik Ismail.
Aksi separuh masa pertama tamat dengan keputusan 1-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, Kelantan TRW.
Selangor meningkatkan intensiti permainan bagi mencari gol penyamaan dalam separuh masa kedua.
Dan usaha mereka berhasil pada minit ke-62 menerusi bintang sensasi The Red Giants, Faisal Halim yang melakukan rembatan kencang dalam kawasan kotak penalti pasukan Kelantan TRW sekali gus menewaskan penjaga gol, Damyan Damyanov.
Faisal Halim sekali lagi bertindak selaku penjaring gol pada minit ke-92 sekali gus mematikan langkah pasukan tuan rumah, Kelantan TRW.
Aksi separuh masa kedua tamat dengan keputusan 1-2 memihak kepada pasukan pelawat, Selangor.
Kedua-dua pasukan akan bertemu semula dalam aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia musim 2025/26 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 23 Januari depan.