Skip to main content

Badminton

Piala Lee Chong Wei tarik sokongan korporat, trofi rasmi diperkenalkan

bbbb

Kemeriahan menjelang Piala Lee Chong Wei (LCWC) sulung terus membara dengan penyertaan dan komitmen lebih ramai rakan korporat yang tampil memberikan sokongan terhadap kepada kejohanan remaja berprestij yang akan berlangsung dari 29 Ogos hingga 6 September di Stadium Juara, yang terletak bersebelahan Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Chery muncul sebagai rakan korporat pertama yang menyokong LCWC sebagai Rakan Penaja Utama pada Februari lepas, bersama penaja peralatan Dato’ Seri (Dr.) Lee Chong Wei, Yonex Sunrise serta Astro sebagai Penyiar Rasmi bagi edisi sulung kejohanan.

Kini, barisan rakan korporat tersebut turut disertai beberapa jenama berprofil tinggi seperti: U Mobile, CHAGEE, 100PLUS, OPPO, Keyplus, IHH Healthcare, Cat Day dan Akoof Food & Beverage.

Dato’ Seri (Dr) Lee Chong Wei: “Saya amat berterima kasih kerana begitu ramai rakan korporat tampil memberikan sokongan bagi saingan tahun pertama ini dan membantu menyediakan peluang kepada atlet muda untuk merasai pengalaman menyertai sebuah kejohanan yang hebat. Kiraan detik sudah bermula dan saya tidak sabar menyaksikan bakat-bakat muda beraksi. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Rakan Penaja Utama kami, Chery, kerana membantu merealisasikan visi saya.”

Ketua Pegawai Perniagaan Pengguna U Mobile, Navin Manian: “Di U Mobile, kami percaya kejayaan terhasil daripada keinginan untuk melangkah lebih jauh dan keberanian untuk mencabar batasan. Kami berkongsi semangat yang sama untuk terus melangkaui batas dan mengejar kecemerlangan yang telah lama menjadi identiti badminton Malaysia. Justeru, kami berbangga dapat bekerjasama dengan Piala Lee Chong Wei, sebuah platform yang memberi peluang kepada bakat muda Malaysia untuk bertanding, berkembang dan merealisasikan potensi mereka. Badminton telah memberi inspirasi kepada generasi rakyat Malaysia untuk mengimpikan sesuatu yang lebih besar, dan kami berharap dapat memainkan peranan dalam memberi inspirasi kepada generasi seterusnya untuk memasang cita-cita yang lebih tinggi serta meneruskan legasi badminton Malaysia yang dibanggakan.”


Ketua Sukan Astro, Nicholas John: “Astro berbesar hati menyokong edisi sulung Piala Lee Chong Wei sebagai Hos Penyiar, sekali gus membawa platform menarik ini kepada peminat dan pemain muda di seluruh negara. Sebagai Hub Sukan, Astro telah lama menyokong sukan dan atlet Malaysia, daripada liputan menyeluruh acara sukan utama hinggalah kepada pelbagai inisiatif yang membantu mencungkil dan membangunkan bakat muda. Piala Lee Chong Wei mencerminkan hasrat ini dengan mewujudkan peluang untuk generasi akan datang berkembang, bertanding dan mengimpikan kejayaan yang lebih besar. Penganjuran kejohanan ini pada ketika sambutan ulang tahun ke-30 Astro dan sambutan Hari Kebangsaan menjadikannya satu detik yang cukup bermakna. Kami berharap Piala Lee Chong Wei dapat memberi inspirasi kepada generasi baharu atlet dan peminat sukan, di samping mencipta lebih banyak detik bermakna dalam sukan untuk dikongsi bersama rakyat Malaysia.”

CHAGEE: “Kami berbangga menjadi sebahagian daripada Piala Lee Chong Wei kerana kejohanan ini lebih daripada sekadar pertandingan badminton. Sebagai jenama yang percaya kepada usaha mewujudkan hubungan dan detik yang bermakna, kami berbesar hati menyokong satu inisiatif yang memberi inspirasi kepada generasi muda Malaysia.”


Ketua Pegawai Pemasaran F&N Beverages Sdn Bhd, Leong Wai Yin:“Hubungan kami dengan Dato’ Seri (Dr.) Lee Chong Wei melangkaui lebih dari sekadar kerjasama jenama. Sejak beliau menjadi Duta Jenama 100PLUS pada 2009, beliau bukan sahaja menjadi sahabat baik 100PLUS, malah turut berkongsi komitmen mendalam kami terhadap pembangunan sukan Malaysia. Kami berbesar hati menjadi sebahagian daripada perjalanan luar biasa beliau serta menyaksikan sendiri bagaimana beliau telah memberi inspirasi kepada generasi rakyat Malaysia, di dalam mahupun di luar gelanggang.

“Pembangunan pemain muda amat penting untuk masa depan badminton Malaysia dan kejohanan ini menyerlahkan keyakinan yang dikongsi bersama oleh Dato’ Seri (Dr.) Lee Chong Wei dan 100PLUS bahawa kita perlu terus memberi inspirasi, sokongan serta menyediakan peluang kepada atlet muda untuk berani mengimpikan kejayaan lebih besar dan muncul sebagai juara masa depan.”

Pengarah Pemasaran OPPO Malaysia, Monica Chin: “Piala Lee Chong Wei Cup amat selari dengan slogan global kami, Make Your Moment. Kami teruja untuk melihat ribuan bakat muda tampil mencabar diri, menguji kemampuan mereka dan mencipta detik-detik yang tidak akan dilupakan. Mungkin juga kita akan menyaksikan kemunculan pemain berbakat yang belum dikenali, bangkit mencabar juara kebangsaan yang dijemput khas. Itulah keterujaan yang kami nantikan. “Jadi, kepada semua atlet muda, serlahkan kemampuan anda, beranikan diri untuk mencuba dan Make Your Moment!”

KEYPLUS: “Kami berbangga menjadi sebahagian daripada Piala Lee Chong Wei kerana kejohanan ini lebih daripada sekadar pertandingan badminton. Ia menghimpunkan bakat muda, keluarga dan komuniti melalui semangat kesukanan, keazaman serta minat yang sama terhadap sukan ini.”

Ketua Pegawai Eksekutif Serantau (Tengah) IHH Healthcare Malaysia & Perkhidmatan Klinikal Korporat, Dr. Shuba Srinivasan: “Piala Lee Chong Wei akan membawa ramai pemain muda ke gelanggang dan semua itu bersama tanggungjawab untuk memastikan mereka dapat bertanding dalam persekitaran yang selamat serta mendapat sokongan sewajarnya. Sokongan perubatan yang baik bukan sekadar bertindak apabila berlaku sesuatu, tetapi turut melibatkan persediaan rapi dan kehadiran pasukan yang sesuai sepanjang kejohanan. Sebagai Rakan Perubatan Rasmi, kami akan memberi sokongan menerusi hospital-hospital kami di Lembah Klang bagi menyokong kejohanan ini secara bermakna menerusi pasukan perubatan serta kepakaran kami.”

CAT DAY: “Di Cat Day, kami percaya kecemerlangan bermula dengan penjagaan, kesabaran dan keberanian untuk terus berkembang setiap hari. Nilai-nilai ini amat dekat dengan semangat Piala Lee Chong Wei – memberi inspirasi kepada atlet muda untuk memasang impian lebih besar, membina ketahanan diri dan mengejar kecemerlangan dengan rasa penuh rendah diri.”

AKOOF: “Kami amat berbesar hati untuk bersama menyertai Piala Lee Chong Wei. Sebagai sebuah syarikat yang berpangkalan di Pulau Pinang, kami mempunyai hubungan istimewa dengan Dato’ Seri Lee Chong Wei dan kini berbangga dapat menyokong aspirasi peribadi beliau sebagai Rakan Rasmi Makanan Sejuk Beku. Kami tidak sabar untuk menjadi sebahagian daripada kejohanan berprestij ini.”

Bagi menyemarakkan lagi kemeriahan menjelang edisi sulung LCWC, trofi rasmi kejohanan turut diperkenalkan bersama pingat bagi setiap kategori umur.

Berasaskan  tema “Perjalanan Menuju Kecemerlangan & Mencetus Inspirasi Juara”, reka bentuk trofi ini mencerminkan nilai keazaman, disiplin, rendah diri, ketahanan dan usaha tanpa henti dalam mengejar kecemerlangan yang menjadi tunjang kepada kerjaya gemilang Chong Wei. Imej bayangan Chong Wei yang menjulang ke atas menggambarkan perjalanan berterusan seorang atlet menuju kecemerlangan, manakala bentuk lengkungnya melambangkan momentum, ketahanan, aspirasi serta keberanian untuk mengatasi cabaran.

Motif abstrak raket dan jaring badminton pula melambangkan ketepatan, penguasaan teknikal dan fokus, manakala bentuk bulu tangkis tiga dimensi yang menghala ke atas merupakan simbol kepada impian setiap atlet muda untuk mencapai tahap tertinggi dalam sukan ini.

Trofi seberat kira-kira 12.5 kilogram dan setinggi 60 sentimeter itu dihasilkan secara tangan menggunakan loyang gred premium dengan kemasan saduran emas serta diletakkan di atas tapak kayu jati padu. Setiap elemen trofi direka untuk melambangkan prestij, kerja kemas dan kecemerlangan badminton Malaysia.

Namun, lebih daripada sekadar lambang kemenangan, trofi berkenaan membawa makna yang lebih besar iaitu impak legasi yang ditinggalkan Chong Wei dalam badminton Malaysia, untuk mencetus inspirasi kepada pemain muda supaya berani memasang impian, bertanding dengan penuh maruah dan mengejar kecemerlangan diri sendiri.

LCWC mempertandingkan tiga kategori umur iaitu Bawah 13 Tahun, Bawah 15 Tahun dan Bawah 17 Tahun dan melibatkan kesemua lima acara: Perseorangan Lelaki, Perseorangan Perempuan, Beregu Lelaki, Beregu Perempuan dan Beregu Campuran.

LCWC turut memperkenalkan sistem markah 15x3, yang dijadualkan digunakan secara rasmi dalam BWF World Tour tahun depan. Kejohanan berlangsung secara satu pusingan sahaja pada tahun pertama ini dengan menawarkan jumlah hadiah wang tunai RM100,000, yang merupakan ganjaran paling lumayan bagi sebuah kejohanan badminton remaja di Malaysia.

LCWC berharap untuk meneruskan semangat dan kejayaan perjalanan kerjaya selama dua dekad Chong Wei, yang dikenali hebat dengan kejayaan menduduki ranking pemain nombor satu dunia selama 349 minggu, termasuk tempoh 199 minggu berturut-turut selama empat tahun dari 2008 hingga 2012.

Chong Wei juga merupakan pemenang pingat perak Sukan Olimpik sebanyak tiga kali serta pemegang 69 gelaran Persekutuan Badminton Dunia (BWF), yang sekali gus menjadikannya antara atlet paling berjaya yang pernah dilahirkan Malaysia.

Anda mungkin berminat dengan

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

Related Topics

Must Watch Video