Skip to main content

Badminton

Piala Lee Chong Wei: Enam hari, enam hotel... Apa hal?

Piala Lee Chong Wei: Enam hari, enam hotel... Apa hal?

'Enam hari, enam hotel', itu antara kisah menarik yang dikongsikan Datuk Seri Lee Chong Wei sepanjang penganjuran Piala Lee Chong Wei, selepas seorang bapa memberitahu bekas jaguh badminton negara itu mengenai pengalaman unik mereka sepanjang mengikuti kejohanan berkenaan.

Chong Wei berkata, dia sempat berbual dengan seorang pemain muda yang datang dari Johor sebelum bertanya mengenai tempat penginapan mereka.

“Saya ada bertemu seorang pemain dan bersembang dengan mereka. Mereka datang dari Johor, jadi saya tanya mereka duduk di mana? Bapanya berkata, enam hari, enam hotel.

“Saya pun tanya, kenapa?

“Bapanya berkongsi, mereka tidak sangka anaknya dapat bermain sejauh ini dalam Piala Lee Chong Wei kali ini. Jadi mereka perlu bertukar bilik hotel setiap hari,” katanya.

Kisah itu secara tidak langsung menggambarkan betapa sengitnya saingan kejohanan berkenaan, apabila pemain muda yang pada awalnya mungkin sekadar mahu mencuba nasib akhirnya terus mara ke pusingan lebih jauh.

Bagi Chong Wei, pengalaman tersebut juga menjadi pengajaran penting untuk penganjuran edisi akan datang.

Dia mengakui pada awalnya tidak berniat untuk menganjurkan kejohanan sehingga sembilan hari, namun jumlah penyertaan yang tinggi menyebabkan tempoh pertandingan perlu dipanjangkan.

“Bermula dengan sesi kelayakan, sebelum pemain peringkat negeri kemudian pemain bertaraf kebangsaan turut menyertai saingan.

“Untuk penganjuran akan datang, kami akan cuba melakukannya dalam tempoh yang lebih singkat, mungkin waktu permainan dilanjutkan sehingga malam,” katanya.

Namun, Chong Wei menegaskan tempoh kejohanan bukanlah satu-satunya perkara yang menjadi pertimbangannya.

Sebaliknya, aspek keselamatan dan kesihatan pemain muda turut menjadi keutamaan.

“Saya mahu elak pemain-pemain ini bermain sehingga tiga perlawanan dalam satu hari. Saya mahu cuba mengelakkan sebarang kecederaan dialami pemain-pemain muda.

“Berdasarkan pengalaman yang saya tahu dalam kejohanan lain, mereka menganjurkan saingan yang singkat tetapi pemain terpaksa bermain banyak perlawanan,” katanya.

Menurut Chong Wei, beliau mahu memastikan pemain mendapat tempoh rehat yang mencukupi supaya mereka dapat beraksi pada tahap terbaik tanpa membebankan fizikal.

“Saya cuba untuk memastikan pemain kekal sihat dan mengelak daripada kecederaan, sebab itu mahu memastikan mereka hanya bermain dua perlawanan dalam satu hari,” katanya.

Chong Wei turut berharap Piala Lee Chong Wei dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai medan pembangunan bakat muda badminton negara.

Dia mahu pemain yang gagal pada edisi kali ini tidak mudah berputus asa, sebaliknya menjadikan pengalaman berkenaan sebagai motivasi untuk kembali lebih kuat.

“Saya berharap dapat meneruskan penganjuran Piala Lee Chong Wei ini untuk akan datang.

“Saya berharap jika ada pemain yang kalah, mereka tidak akan berputus asa, cuba lagi untuk edisi akan datang,” katanya.

Dalam masa sama, Chong Wei merakamkan penghargaan kepada ibu bapa yang terus memberikan sokongan kepada anak masing-masing sepanjang kejohanan.

Chong Wei turut berjanji untuk meneliti segala kekurangan dalam penganjuran sulung itu bagi memastikan edisi akan datang lebih baik.

“Kepada ibu bapa, saya mahu mengucapkan terima kasih atas sokongan mereka.

“Saya berharap untuk memperbaiki sebarang kekurangan daripada sudut penganjuran dan memastikan kelangsungan menghasilkan bakat baharu sukan badminton.

“Saya juga mahu cakap, terima kasih Astro,” katanya.

Bagi Chong Wei, kisah 'enam hari, enam hotel' itu mungkin kedengaran lucu, namun di sebaliknya terselit satu perkara yang lebih besar -- apabila kejohanan mampu memberi peluang kepada pemain muda untuk terus bermimpi, melangkah lebih jauh dan merasai sendiri pengalaman berada di pentas kompetitif.

Anda mungkin berminat dengan

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

Must Watch Video

Advertisement