Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei, tidak menolak penggunaan sistem "hawk eye" yang bakal dipertimbangkan dalam Piala Datuk Lee Chong Wei edisi hadapan.
Bagaimanapun, ia akan diteliti terlebih dahulu termasuk melihat secara teliti aspek bajet kerana kos teknologi tersebut memerlukan perbelanjaan lebih besar.
"Kami akan cuba untuk menyediakan (teknologi ini) pada tahun hadapan tapi saya tidak janji lagi.
"Ia bukan murah jadi saya harap dapat menarik lebih banyak penaja.
"Saya menaruh harapan (kemudahan terbaik) buat kejohanan remaja di Malaysia ini," katanya.
Sementara itu, produk dari Astro Kem Badminton, Shahadzryl Suhaime, merupakan antara nama yang bakal dibawa masuk BAM untuk mengembangkan bakatnya setelah merangkul kejuaraan berganda dalam Piala Lee Chong wei 2026.
"Kami akan bincangkan dengan barisan kejurulatihan dan kalau kami dapat hidu bakat pemain, pastinya mereka akan diserapkan.
"Tahun ini tampaknya ada beberapa pemain yang kena dibawa ke dalam skuad kebangsaan," katanya lagi.