Anak angkat kepada bekas pemain nombor satu dunia, Roslin Hashim, iaitu Airulsyam Amri, berharap penampilannya dalam Kejohanan Piala Lee Chong Wei ketika ini dapat membuka mata Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk melihat kemampuannya.
Dia juga berhasrat untuk meneruskan perjalanannya sebagai pemain negara andai badan induk itu sudi melamarnya.
Airulsyam, yang mewakili Selangor, cemerlang melangkah ke suku akhir kategori perseorangan lelaki B-15 selepas mempamerkan aksi memukau menewaskan Ng Chia Tin dari Kedah 17-15, 11-15, 15-12.
"Kalau boleh saya mahu jadi juara kerana sasaran saya adalah untuk dapat masuk BAM," katanya kepada wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.
"Saya rasa lebih bersemangat kerana jadi anak angkat Roslin Hashim, saya gembira dapat berlatih dengannya.
"Saya nak jadi pemain negara dan mahu menjadi seperti Datuk Seri Lee Chong Wei."