Arsenal meraih hadiah kewangan terbesar dalam sejarah bola sepak kelab wanita dengan menewaskan Corinthians 3-2 selepas masa tambahan untuk memenangi Piala Juara-Juara Wanita FIFA yang julung kali diadakan semalam.
Juara Eropah itu menewaskan pasukan bukan pilihan Brazil hasil jaringan kemenangan Caitlin Foord untuk menerima pulang wang hadiah bernilai ASD2.3 juta (RM9 juta).
Advertisement
Itu hampir empat kali ganda ASD590,000 (RM2.3 juta) yang diterima Arsenal kerana memenangi Liga Juara-Juara musim lalu.
The Gunners merupakan pasukan pilihan untuk memenangi trofi yang mempertemukan juara enam benua itu buat kali pertama dalam persaingan.
Bagaimanapun, Corinthians mengejutkan juara AS, Gotham FC, pada separuh akhir Rabu dan meletakkan Arsenal di hadapan lebih 25,000 penonton di Stadium Emirates.
Gol pembukaan awal Olivia Smith untuk Arsenal segera dibatalkan dengan gol penyamaan Gabi Zanotti.
Pemain pertahanan England, Lotte Wubben-Moy, mengembalikan pendahuluan Arsenal dan sambutan bermula di sekitar Emirates apabila Corinthians menyamakan kedudukan secara dramatik pada masa kecederaan.
Vic Albuquerque menjaringkan gol menerusi sepakan penalti selepas Gisela Robledo dijatuhkan di dalam kotak penalti.
Bagaimanapun, Arsenal mempamerkan semangat dalam masa tambahan apabila Foord menyelinap masuk sebelum meledak gol kemenangan mengecewakan Corinthians.