Kemenangan 1-0 ke atas Filipina untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala Hyundai ASEAN malam tadi menjadi satu perlawanan bersejarah buat pemain tengah skuad kebangsaan, Wan Kuzain Wan Kamal, yang buat kali pertama tersenarai dalam kesebelasan utama Harimau Malaya.
Bagi Wan Kuzain, ia merupakan satu detik mengharukan buat dirinya apabila dapat berada dalam senarai itu, lebih-lebih lagi turut menjadi pencetus gol kemenangan G. Pavithran pada minit ke-16.
Pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu berharap segala kerja keras yang dilakukannya bersama rakan sepasukan lain dapat menarik lebih ramai penyokong bola sepak tempatan untuk memberikan sokongan padu kepada Harimau Malaya menjelang aksi separuh akhir pertama menentang Vietnam minggu depan.
"Ia amat hebat, sudah pasti saya memulakan permainan buat kali pertama," katanya kepada wartawan Astro Arena, Kamal Nizam.
"Apa yang paling penting kami mendapatkan kemenangan dan jelas sekali perlawanan ini amat berat, jadi dapat ke separuh akhir memberikan perasaan yang amat hebat.
"Pasukan ini telah membuktikan yang kami layak menerima setiap sokongan anda. Dapat beraksi di stadium yang sedikit kecil berbanding Bukit Jalil dan anda dapat melihat ia penuh, hanya itulah yang kami harapkan, iaitu sokongan dan setiap mesej positif yang datang bersamanya amat bermakna buat kami.
"Sesiapa sahaja yang menyokong kami, kami akan menerimanya dan setakat ini ia amat baik."