Tonggak tengah negara, Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal, yang masuk sebagai pemain gentian dalam dua aksi sebelum ini enggan memikirkan perkara itu sebaliknya sedia 'memberikan segala- segalanya' jika dia diturunkan dalam perlawanan di Stadium Cheras malam ini.
Pemain berusia 27 tahun itu mencuri tumpuan selepas menjaringkan gol cantik menerusi sepakan percuma buat negara ketika membantu Harimau Malaya menewaskan Laos 4-0 sebelum ini.
Dia dijangkakan akan mengisi tempat kosong yang ditinggalkan Endrick Dos Santos -susulan kecederaan- bagi mengemudi jentera tengah berdepan Filipina dalam misi wajib menang negara seandainya mahu melangkah ke separuh akhir Piala Hyundai ASEAN malam ini.
"Saya tidak kisah sama ada diturunkan dalam kesebelasan utama atau masuk sebagai pemain gantian.
"Jika diberi peluang lima minit, 20 minit atau 90 minit, saya akan memberikan segala-galanya untuk pasukan.
"Keputusan sama ada saya bermula dalam kesebelasan utama terletak di tangan jurulatih. Apa yang penting, saya mahu memanfaatkan setiap peluang dan membantu pasukan.
"Saya sentiasa bersedia apabila diperlukan dan akan memberikan yang terbaik untuk pasukan." kongsinya seperti dipetik dari Sinar Harian.