Indonesia merupakan satu-satunya pasukan gergasi Asia Tenggara gagal menjuarai kejohanan serantau anjuran Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF).
Sepanjang 15 edisi yang dipertandingkan sejak 1996, Indonesia masih gagal mengucup trofi serantau itu dengan pencapaian terbaik mereka ialah bergelar naib juara sebanyak enam kali, masing-masing dalam edisi 2000, 2002, 2004, 2010, 2016 dan juga 2020.
Sepanjang tempoh itu, Thailand muncul pasukan paling berjaya dengan tujuh gelaran, diikuti Singapura dengan empat gelaran dan Vietnam dengan tiga gelaran.
Malaysia turut pernah menjulang kejuaraan AFF ketika menewaskan Indonesia dalam edisi 2010, sekali gus menjadikan Indonesia satu-satunya pasukan gergasi rantau ini yang masih kempunan gelaran berkenaan.
Dan impian 290 juta rakyat Indonesia untuk melihat pasukan kesayangan mereka menamatkan penantian itu dalam edisi kali ini juga tidak kesampaian apabila Garuda gagal melepasi peringkat kumpulan selepas muncul pasukan ketiga teratas Kumpulan A, walaupun menurunkan skuad paling mahal daripada segi nilai pasaran pemain.
Separuh akhir edisi kali ini juga mempertemukan empat bekas juara, di mana Thailand akan berdepan Singapura dan Vietnam akan berdepan Malaysia dalam dua perlawanan timbal balik minggu depan.