Tonggak senior skuad negara, Paulo Josue, tampak bakal diberi kepercayaan untuk memakai lilitan kapten Harimau Malaya menjelang kempen Piala Hyundai ASEAN hujung minggu ini.
Pengalaman luas dan kepimpinannya di atas padang bersama KL City difahamkan menjadi antara faktor yang mendorong kepercayaan jurulatih interim negara, Tan Cheng Hoe.
Ia juga diakui penjaga gol, Azri Ghani, yang juga bekas rakan sepasukan Josue ketika bersama Kuala Lumpur City sebelum ini.
"Dia cukup-cukup bagus," kata Azri kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Kita dapat lihat kepimpinannya bersama Kuala Lumpur dan pasukan kebangsaan, dia tahu bagaimana untuk mengetuai dan memotivasikan pasukan.
"Saya mengharapkan dia cukup tajam kerana kita tahu dia banyak pengalaman dan saya juga mengharapkan rakan sepasukan lain dapat membantunya daripada segi penyudah dan hantaran bola.
"Bagi saya, Paulo Josue pasti akan dapat memberikan aksi terbaik."