Pengalaman bekerja di bawah kendalian Tan Cheng Hoe ketika bersama Selangor menjadi modal berharga buat pemain tengah, Aliff Haiqal Lau, untuk buktikan panggilannya ke skuad kebangsaan menjelang saingan Piala Hyundai ASEAN hujung bulan ini bukan sekadar nasib.
Tonggak baharu Penang itu bertekad membalas kepercayaan itu dengan membuktikan dia mampu memberikan sumbangan bermakna kepada Harimau Malaya, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kariernya.
Aliff, yang mesra disapa Nonet, pernah bekerjasama dengan Cheng Hoe ketika menyarung jersi Selangor dalam musim 2022 dan 2023.
Sebagai antara tunjang utama pasukan ketika itu, dia membantu The Red Giants muncul naib juara Liga Super serta layak ke Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di bawah bimbingan Cheng Hoe.
"Saya sudah biasa bermain dengan jurulatih Tan sewaktu bersama Selangor dan setakat ini, saya dapat bekerjasama dengan amat baik dengannya," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Bagi saya dan pemain muda yang lain, pendedahan ini amat penting untuk kami menimba pengalaman dari satu perlawanan ke satu perlawanan.
"Saya tidak rasa takut, cuma mahu menikmati permainan dari satu perlawanan ke satu perlawanan.
"Untuk bersaing di posisi saya memang ada semua pemain yang berkualiti dan pada masa sama, kami boleh berkongsi kualiti yang kami miliki, kekurangan dan kelebihan, jadi saya rasa gembira."