Dengan krisis kehilangan pemain utama yang kian meruncing, ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, tidak mahu menjadikannya sebagai satu alasan dan berjanji untuk tetap meneruskan perjuangan menjelang aksi separuh akhir pertama Piala Hyundai ASEAN menentang Vietnam di Stadium Kuala Lumpur, Cheras malam esok.
Meskipun sudah mencapai sasaran ke separuh akhir kejohanan itu, perjuangan skuad negara tetap perlu diteruskan dalam misi menumbangkan pasukan juara bertahan berkenaan untuk ke final.
Bagaimanapun, pasukan bimbingan Cheng Hoe itu sekali lagi dipalit dengan masalah kecederaan pemain apabila pemain tengah, Aliff Haiqal Lau, menjadi nama baharu dalam senarai berkenaan.
Terdahulu, Cheng Hoe turut kehilangan pemain tengah, Endrick dos Santos, dan pertahanan kanan, Jimmy Raymond, gara-gara kecederaan, manakala tonggak warisan dari Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal, pula terpaksa pulang ke pangkuan kelabnya, Sporting JAX.
"(Mohamadou) Sumareh sudah kembali berlatih bersama pasukan dan kelihatan dia bersedia untuk perlawanan esok," kata Cheng Hoe seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Kamal Nizam.
"Pada masa sama, Aliff Haiqal, Engku Shakir (Engku Yacob) dan beberapa pemain lain seperti dimaklumi tidak dapat diturunkan esok.
"Kami juga kehilangan Wan Kuzain atas komitmennya bersama kelab, jadi sebagai jurulatih saya perlu mencari pilihan dan penyelesaian untuk kesebelasan utama esok."