Bintang Indonesia, Rizky Ridho, dilihat sedang menenangkan penyokong yang tidak dapat menerima pasukan kesayangan mereka tersingkir di peringkat kumpulan, Piala Hyundai ASEAN, di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam tadi.
Keputusan seri 1-1 bertemu Singapura menyaksikan pasukan di ranking ke-118 dunia itu gagal ke separuh akhir apabila mengakhiri saingan Kumpulan A di tempat ketiga, hanya dibezakan satu mata di belakang The Lions.
"Terima kasih kerana menyokong mas (abang), kalian ke sini menggunakan wang sendiri betul? Tanpa dibayar sesiapun, saya tahu itu, terima kasih.
"Saya di sini mengecewakan kalian, saya tahu juga. Kami berusaha mas semaksimum mungkin,kami cuba untuk menang tapi hasilnya satu-satu, kami kecewa, mas juga kecewa, saya tahu itu.
"Tapi tolong terus bersama-sama, terima kasih banyak mas." katanya seperti yang tular di media social.
Untuk rekod, Indonesia belum pernah memenangi gelaran serantau itu sejak pertama kali ditubuhkan yang memasuki ulang tahun ke-30 penganjuran.