Mohamadou Sumareh terus menonjolkan persembahan memukau membantu pasukan kebangsaan meraih dua kemenangan penting dalam perlawanan Kumpulan B Piala Hyundai ASEAN, setakat ini.
Bintang naturalisasi negara itu mempamerkan prestasi mengagumkan tatkala Malaysia menewaskan Myanmar 2-1 dan Laos 4-0 hasil beberapa gelecekan dan gerakan pentingnya di sebelah sayap kanan permainan.
Tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) II itu terus mendapat kepercayaan bagi merealisasikan misi Harimau Malaya mengulangi pencapaian edisi 2010. Namanya terus menjadi sebutan peminat ekoran mengekalkan momentum tinggi berusaha mencari jaringan buat Malaysia.