Jurulatih bawah 23 tahun (B-23) negara, Nafuzi Zain, wajar diberi peluang menggalas tugas dalam Piala Hyundai ASEAN susulan tidak mempunyai sebarang tugasan, tahun ini.
Pandangan itu disuarakan bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali, yang melihat kejohanan itu sebagai platform terbaik untuk memberi pendedahan kepada pemain muda, lebih-lebih lagi ia berlangsung di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Advertisement
Skuad Harimau Malaya mempunyai dua tugasan utama tahun ini selepas gagal menempah tiket ke Piala Asia Arab Saudi 2027.
Ia, membabitkan saingan Piala Hyundai ASEAN yang dijadual berlangsung dari Julai hingga Ogos serta Piala ASEAN FIFA yang dijangka diadakan pada September dan Oktober.
Menurut mantan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu, penyertaan ke Piala Hyundai ASEAN tetap menjanjikan aksi kompetitif buat pemain negara, namun berdepan cabaran tersendiri kerana kejohanan itu tidak berada dalam kalendar rasmi FIFA.
Situasi tersebut menyaksikan skuad kebangsaan berkemungkinan tidak dapat memanggil pemain terbaik berikutan komitmen bersama kelab masing-masing.
"Sangat menarik apabila memiliki dua kejohanan yang hampir sama.
"Mungkin akan ada perancangan rapi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
"Pendapat saya, mungkin Harimau Muda boleh diberi peluang.
"Pemain boleh mendapat pendedahan kompetitif," katanya di Nadi Arena.
Pandangan sama turut disuarakan legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan, yang menegaskan perancangan jangka panjang ke arah Piala Asia 2031 perlu bermula dari sekarang.
Zainal percaya pendedahan di pentas antarabangsa harus diberikan kepada barisan pemain muda agar mereka lebih bersedia memikul cabaran lebih besar pada masa hadapan.
"Kita mahu persiapan pendek atau panjang?
"Ini peluang terbaik untuk mempersiap pasukan menjelang 2031.
"Dalam masa empat tahun, kita harus membentuk pasukan yang bagus dan pemain berkualiti.
"Selagi mereka tidak bermain di peringkat antarabangsa, mereka tidak boleh menampilkan persembahan terbaik.
"Jadi, mereka harus diberi peluang," katanya.