Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, mengingatkan barisannya bahawa Laos pastinya sudah mengambil pengajaran daripada kekalahan besar dalam perlawanan pembukaan.
Skuad kebangsaan yang masih dalam usaha membentuk persefahaman jitu mencapai kemenangan 2-1 ke atas Myanmar sambil pasukan muda Laos di bawah kendalian Vladica Grujic tumpas 0-5 kepada Thailand ketika mengharungi aksi sulung Kumpulan B, Piala Hyundai ASEAN.
Namun, Cheng Hoe mengingatkan pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur malam esok itu tidak menjamin laluan mudah untuk mereka mengutip tiga mata.
"Kami perlu menghormati Laos. Mana-mana pasukan yang menyertai mana-mana kejohanan pasti mahu bangkit dan mencapai keputusan yang baik," katanya dalam sidang media pra-perlawanan sebentar tadi.
Cheng Hoe turut menekankan kepentingan pemain yang mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa bagi mencipta keseimbangan pasukan tatkala tiga pemain; Alif Ahmad, Rodney Celvin dan Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal membuat penampilan pertama bersama pasukan negara.
"Gabungan pemain berpengalaman dan muda membuatkan pasukan ini adalah unik memandangkan musim liga sudah lama berakhir.
"Ini ibarat persiapan pramusim bagi mereka dan sangat sukar buat jurulatih untuk mencipta kesefahaman pasukan.
"Saya beruntung kerana pemain berpengalaman membantu muka baru biarpun bergelut dalam separuh masa pertama.
"Kami bangkit dalam babak kedua termasuk semangat berpasukan dan ini membuktikan kami mampu beraksi dengan lebih baik lagi.
"Tapi sudah tentu semangat sahaja tidak cukup, pemain pengalaman amat membantu meningkat tempo permainan," katanya lagi.