Ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, mengesahkan Harimau Malaya terpaksa melupakan khidmat pertahanan kanan, Jimmy Raymond, gara-gara kecederaan buku lali yang dialami pemain itu ketika Malaysia tewas 0-2 kepada Thailand dalam aksi Kumpulan B, Piala Hyundai ASEAN di Bangkok pada Sabtu lalu.
Sedar akan kesukaran untuk mendapatkan pemain gantian tatkala kelab tempatan sedang dalam tempoh pramusim, Cheng Hoe, bagaimanapun, kekal tenang dengan menaruh kepercayaan penuh terhadap barisan pemain sedia ada bagi hadapi Filipina dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Sabtu ini.
Cheng Hoe mengakui kehilangan Jimmy amat dirasai memandangkan dia kini hanya memiliki pemain muda, Alif Ahmad, di posisi itu.
Terdahulu, kem kebangsaan turut kehilangan khidmat perancang tengah, Endrick dos Santos, yang mengalami kecederaan lutut.
"Buat masa ini kita tahu Endrick memang tidak boleh beraksi dalam perlawanan akan datang dan yang terbaru, saya terima laporan perubatan yang Jimmy juga tidak boleh beraksi dalam perlawanan akan datang," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
"Harap-harap ia bukan kecederaan yang terlalu serius kerana ia akan mendatangkan kerugian buat pasukan kerana mereka merupakan tonggak utama.
"Ia sedikit sebanyak memberikan kami kebimbangan terhadap pasukan. Barisan kejurulatihan masih berbincang tentang pemain mana yang perlu diserapkan tetapi kita tahu kami menghadapi kekangan masa dan kelab-kelab sedang menghadapi pramusim.
"Kami mengharapkan pemain sedia ada kekal fokus dan tahap kecergasan terbaik untuk menghadapi Filipina."