Tular di media sosial peminat memfailkan aduan kepada Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengenai kualiti pengadil membabitkan perlawanan Selangor dan Kuching City dalam saingan separuh akhir kedua, Piala FA di Stadium Taha Ariffin, malam tadi.
Dalam sebuah perkongsian di laman Thread, sebuah akaun memfailkan aduan di bawah perkara 'Manipulasi perlawanan dan pertandingan bola sepak' membabitkan pegawai perlawanan, Izwan Abdullah, yang mengemudi aksi itu.
Dalam aksi malam tadi menyaksikan beberapa insiden kontroversi membabitkan layangan kad merah dan insiden kekecohan antara kedua-dua pasukan.
Bahang perlawanan kian hangat apabila penyerang berbisa Gergasi Merah, Chrigor Moraes, dikasari dua kali tetapi pihak lawan terlepas daripada sebarang hukuman, selain tindakan pengadil perlawanan, Izwan Abdullah, yang menghadiahkan sepakan penalti yang mengundang persoalan, memandangkan Harith Haiqal Adam Afkar terlebih dahulu mengeluarkan bola dari kawasan bahaya tatkala cuba diterkam penyerang Kuching, Jerome Etame.
Kekecohan di bangku simpanan pula tercetus membabitkan pemain tuan rumah yang meluru ke bangku simpanan pasukan pelawat bagi meraikan jaringan dan mendorong Izwan melayangkan kad merah ke atas jurulatih kecergasan Selangor, Joel Dones, dan Eduardo Sosa.