Ketua jurulatih Selangor, Kim Pan-gon, menyifatkan jadual padat Liga Malaysia sebagai antara punca kualiti perlawanan menentang Sabah dalam aksi Piala FA terjejas.
Selangor mengesahkan kemaraan ke pusingan seterusnya selepas menyingkirkan Sabah dengan kemenangan agregat 4-3.
Namun, Pan-gon kecewa apabila pemainnya hanya diberikan tempoh rehat 48 jam selepas perlawanan sebelum kembali beraksi.
“Perlawanan malam ini sangat sukar. Kami baru sahaja bermain dua hari lepas dan perlu bermain tiga perlawanan dalam tempoh seminggu.
“Siapa yang susun jadual sebegini dan kualiti perlawanan apa yang mereka harapkan?” katanya.
Menurut pengendali dari Korea Selatan itu, jadual sedemikian bukan sahaja menjejaskan prestasi pemain, malah berisiko terhadap kebajikan mereka.
“Kita tak boleh salahkan pemain kerana kita perlu melindungi mereka dan kualiti perlawanan.
“Kita bukan Liga Perdana Inggeris yang bermain sehingga 48 perlawanan. Jadi mengapa kita perlu lalui jadual seperti ini?” katanya.
Pan-gon tetap memuji semangat anak buahnya yang berjuang sehingga wisel penamat, namun mengakui aksi tersebut kurang berkualiti.
“Saya sangat menghargai semua pemain yang berjuang habis-habisan. Saya tidak boleh salahkan mereka.
“Kita boleh sajikan perlawanan berkualiti jika ada masa rehat dan persiapan yang cukup,” katanya.