Ketua jurulatih Kuala Lumpur City, Dollah Salleh, berkata pasukannya akan berhati-hati dengan kejutan yang mampu dijelmakan Perak menjelang aksi kedua pusingan 16 Piala FA di Cheras malam esok.
Meskipun akan membawa bekalan satu gol hasil kemenangan 1-0 dalam aksi pertama di Ipoh minggu lalu, Dollah berkata ia bukanlah satu keputusan yang boleh membuat pasukannya berasa selesa.
Ia ditambah dengan kekuatan import baharu pasukan lawan itu, yang kini mendapat khidmat penyerang dari Brazil, Luan Martins, yang dijangka mampu memberikan ancaman buat mereka.
"Memang kami beranggapan Perak merupakan satu pasukan yang baik sewaktu kami berdepan mereka dalam perlawanan pertama," katanya kepada wartawan Astro Arena, Kamal Nizam.
"Mereka kelihatan bermain dengan tersusun dan teratur dan kemasukan satu lagi pemain import dalam perlawanan esok, saya rasa mereka akan lebih mantap.
"Apapun, persiapan kami bagi perlawanan esok, kami lebih bersedia dan saya percaya perlawanan ini akan lebih menarik dan Kuala Lumpur akan memberikan aksi yang lebih baik berbanding sebelum ini."