Dua jaringan penyerang Mesir, Omar Marmoush membantu Manchester City bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan Newcastle United 3-1 dalam aksi pusingan kelima FA Cup di St James' Park, sekali gus memastikan tempat ke suku akhir buat musim kelapan berturut-turut.
Pasukan tuan rumah memulakan perlawanan dengan cemerlang apabila mendahului pada minit ke-18 menerusi Harvey Barnes. Barnes melakukan larian pantas menyambut hantaran jauh sebelum melepaskan rembatan tepat ke penjuru jauh untuk menewaskan pertahanan City.
Advertisement
Bagaimanapun, anak buah Pep Guardiola kembali menyusun rentak permainan dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-39. Percubaan yang bermula daripada gerakan Jeremy Doku menghasilkan situasi kelam-kabut di hadapan gol sebelum bola terkena kaki Savinho dan menerjah jaring untuk gol penyamaan.
City terus mempamerkan aksi lebih agresif pada babak kedua dan berjaya mendahului pada minit ke-47. Hantaran rendah Matheus Nunes ke dalam kotak penalti menemui Marmoush sebelum penyerang itu menyudahkan peluang dengan rembatan deras menembusi gawang.
Marmoush kemudian melengkapkan jaringan kedua peribadinya pada minit ke-65, sekali lagi menerusi gerakan Nunes yang menghantar bola ke dalam kotak penalti sebelum disudahkan penyerang Mesir itu dengan rembatan padu.
Kemenangan tersebut memastikan Manchester City terus menghidupkan harapan memburu satu lagi trofi FA Cup, selain mengekalkan rekod konsisten mereka mara sekurang-kurangnya ke suku akhir kejohanan berprestij itu sejak lapan musim lalu.