Kelantan City bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat kedudukan 2-2 sebelum tewas 3-2 dalam aksi kedua pusingan 16 Piala FA di Paroi sebentar tadi.
Bagaimanapun, keputusan itu sudah cukup untuk melayakkan The Red Fighter ke suku akhir hasil kemenangan agregat 4-3, berkat kelebihan dua gol yang diperoleh mereka dalam aksi pertama di Kota Bharu minggu lalu.
Negeri Sembilan merencanakan kebangkitan dan memperoleh jaringan pembukaan seawal minit kelima apabila lontaran jauh Hairiey Hakim ditanduk masuk Yusuke Minagawa.
Mereka kemudian menyamakan kedudukan agregat apabila Akhyar Rashid menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-38 selepas dia dikasari penjaga gol Kelantan City, Fikri Che Soh.
Bagaimanapun, Kelantan City mempamerkan aksi luar biasa dalam separuh masa kedua bermula dengan gol tandukan Dandy Arbdallah, yang menerima hantaran sepakan penjuru Hadin Azman pada minit ke-53.
Seminit kemudian, Asraff Aliffuddin menghasilkan jaringan gemilang dari jarak hampir setengah padang -- persis seperti yang pernah dilakukan legenda Manchester United, David Beckham, 20 tahun lalu -- untuk memberikan Kelantan City kembali berkelebihan dua gol secara agregat.
Negeri Sembilan ternyata belum mengaku kalah dan menggerakkan serangan bertali arus ke arah gawang lawan dan berhasil menambah jaringan pada penghujung permainan hasil tandukan Park Yi-young dalam waktu kecederaan tetapi ia belum cukup untuk menterbalikkan nasib mereka, sekali gus merelakan kemaraan Kelantan City ke suku akhir.