DPMM ke kubu keramat Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi perlawanan separuh akhir Piala FA kedua esok dengan mempertaruhkan kombinasi Dalberto Luan Belo dan Jordan Murray dengan misi menjaringkan gol di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) buat kali pertama dalam sejarah.
Ini kerana, sepanjang empat pertemuan lalu dpmm gagal menjaringkan sebarang gol tatkala Harimau Selatan menang kesemua aksi dengan merekodkan 18 gol secara keseluruhan.
Meskipun rekod pertemuan lalu memihak JDT, namun pertemuan kali kelima bagi kedua dua pasukan itu bakal tampil berbeza dengan kehadiran kombinasi berbahaya, Dalberto dan Murray.
Penggempur utama taruhan terbaru DPMM kelahiran Brazil, Dalberto, hadir dengan reputasi gah daripada Liga Indonesia bersama Arema selama dua musim.
Melengkapkan gandingan di jentera serangan, Murray merupakan penyumbang jaringan terbanyak saingan Piala FA menerusi lima gol.
Sumbangan dan bantuan gol gandingan kedua-dua terbabit melebihi 10 jaringan musim ini, sekali gus mencerminkan kualiti pemusnah penggempur DPMM bagi mengejar defisit dua gol yang dimiliki Harimau Selatan, hasil kemenangan separuh akhir pertama tempoh hari.
"Mereka berdua menghasilkan banyak gol tapi ia merupakan usaha sepasukan.
"Dari pertahanan dan pemain tengah, mereka juga turut menyumbang (kepada) jaringan.
"Mereka memanfaatkan permainan baik oleh pasukan untuk menterjemahkannya kepada gol.
"Pasukan ini bagus sementara barisan pemain pula berkeyakinan, kami teruja untuk menghadapi aksi timbal balik berdepan pasukan berdepan handalan seperti JDT.
"Walaupun ketinggalan 0-2, tapi pertemuan semula ini satu peluang terbaik," kata ketua jurulatih DPMM, Jamie McAllister.
Tambah Murray pula: "Kami mempunyai sama daripada segi permainan, gemar menjaringkan gol dan mencipta bantuan jaringan.
"Untuk bergandingan dengan pemain sepertinya (Dalberto) adalah menarik dan kami akan teruskan kerjasama erat ini."