Skip to main content

Sepak Takraw

Piala Emas Khir Johari: Bangkit tewaskan Negeri Sembilan, Selangor mara ke final

Piala Emas Khir Johari: Bangkit tewaskan Negeri Sembilan, Selangor mara ke final

Aksi separuh akhir Piala Emas Khir Johari antara Negeri Sembilan dan Selangor menyajikan pertarungan sengit sebelum Selangor bangkit untuk mengesahkan tempat ke pentas final.

Regu pertama Negeri Sembilan bermula garang apabila trio Muhammad Haziq Hairul Nizam, Muhammad Hafizul Hayazi Adnan dan Zuleffendi Sumari mudah mengatasi gandingan Selangor dengan kemenangan 15-6 di set pertama.

Advertisement

Walaupun Selangor cuba memberi tentangan dalam set kedua, Negeri Sembilan kekal konsisten untuk menutup perlawanan dengan kemenangan 15-10, sekali gus menghadiahkan mata pertama buat pasukan.

Momentum Negeri Sembilan diteruskan dalam regu kedua apabila mereka meraih kemenangan tipis 17-15 di set pertama. Namun, Selangor bangkit bergaya dengan kemenangan 15-5 di set kedua untuk mengheret aksi ke set penentuan.

Dalam set ketiga, trio Negeri Sembilan gagal menemui rentak apabila tunduk 8-15, sekali gus menyaksikan Selangor menyamakan kedudukan keseluruhan.

Aksi penentuan beralih ke regu ketiga dengan Negeri Sembilan mengharapkan kebangkitan menerusi gandingan Iman, Amir dan Famee.

Namun, Selangor tampil lebih mantap apabila menguasai set pertama 15-7 sebelum meneruskan kecemerlangan dengan kemenangan 15-11 di set kedua.

Kemenangan itu memastikan Selangor melangkah ke final, menamatkan cabaran Negeri Sembilan dalam aksi dramatik yang penuh turun naik ini.

Must Watch Video