Pelumba muda berbasikal trek kebangsaan, Adib Andhar Andan, melaungkan hasrat untuk membuktikan sesuatu selepas sah dinamakan sebagai pengganti Ridwan Sahrom bagi acara pecut berpasukan lelaki di Piala Dunia Trek UCI pusingan terakhir di Velodrom Nilai, Jumaat ini.
Pertukaran itu dilakukan selepas Ridwan mengalami kecederaan ketika pusingan kedua di Hong Kong tempoh hari, sekali gus memaksanya berehat untuk satu tempoh yang panjang.
Advertisement
Bagi Adib, dia mengakui terkejut dengan perubahan saat akhir tersebut, namun tetap bersyukur kerana diberikan satu peluang besar dan berazam untuk memanfaatkannya sebaik mungkin.
"Saya tak rasa terlalu tertekan, malah rasa gembira dan teruja dapat beraksi buat kali pertama di peringkat dunia.
"Saya harap dapat buktikan yang Malaysia mampu berdiri sama tinggi dengan negara gergasi lain," katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih berbasikal trek negara, Harnizam Basri, menyifatkan keputusan tersebut sebagai langkah yang perlu susulan kecederaan yang dialami Ridwan.
Dia dalam masa sama berharap Adib mampu menyesuaikan diri dengan cepat bagi menghadapi cabaran di pentas tersebut.
"Kita perlu gunakan khidmat Adib kerana syarat UCI terkini hanya membenarkan pelumba yang berada dalam senarai gantian sahaja untuk beraksi," katanya.