Kapten Korea Selatan, Son Heung-min menegaskan bahawa beliau belum memikirkan soal persaraan daripada pentas Piala Dunia meskipun timbul spekulasi bahawa edisi 2026 mungkin menjadi penampilan terakhirnya di kejohanan terbesar bola sepak dunia itu.
Pemain berusia 33 tahun itu menolak andaian berkenaan ketika sidang media menjelang aksi pembukaan Kumpulan A menentang Republik Czech di Guadalajara, Mexico.
Menurut Son, beliau tidak pernah menyatakan bahawa Piala Dunia 2026 akan menjadi kejohanan terakhirnya bersama skuad Taeguk Warriors dan sebarang keputusan mengenai masa depannya hanya akan dibuat apabila tiba masanya.
“Tidak pernah saya katakan ini adalah Piala Dunia terakhir saya. Itu adalah keputusan yang akan saya buat sendiri pada masa yang sesuai,” kata Son.
Walaupun prestasinya menjadi perhatian selepas berpindah dari Tottenham Hotspur ke Los Angeles FC pada 2025, Son masih dianggap tonggak utama Korea Selatan dan kekal sebagai pemain paling berpengaruh dalam skuad kendalian jurulatih Hong Myung-bo.
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Son berdepan kritikan susulan kemerosotan ketajamannya di hadapan gol. Namun, jurulatih Hong tetap memberikan sokongan penuh kepada penyerang berpengalaman itu yang telah lama menjadi nadi pasukan kebangsaan Korea Selatan.
Hong, yang mengendalikan Korea Selatan dalam Piala Dunia buat kali kedua selepas pengalaman pada edisi 2014 di Brazil, percaya pasukannya kini lebih matang dan bersedia untuk menghadapi cabaran kali ini.
“Kami belajar banyak daripada kegagalan pada 2014. Pasukan ini mempunyai pengalaman yang lebih luas dan kami sudah membuat persediaan secukupnya,” katanya.
Selain berdepan tekanan kejohanan, Korea Selatan turut perlu menyesuaikan diri dengan faktor altitud tinggi di beberapa venue di Mexico. Bagaimanapun, Son dan Hong yakin pemain-pemain mereka sudah berjaya menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut menjelang aksi pertama.
Korea Selatan dijadual memulakan kempen Piala Dunia 2026 menentang Republik Czech sebelum berdepan cabaran lebih getir apabila bertemu tuan rumah bersama, Mexico, dan juga Afrika Selatan dalam saingan Kumpulan A.
Bagi Son, fokus utama ketika ini bukanlah mengenai persaraan atau masa depan kariernya, sebaliknya memastikan Korea Selatan dapat melangkah sejauh mungkin dalam kejohanan yang mungkin menjadi peluang terbaik generasinya untuk mencipta sejarah di pentas dunia.