Pengadil bola sepak Somalia, Omar Abdulkadir Artan, menerima sambutan luar biasa sebaik tiba di tanah air selepas dinafikan kemasukan ke Amerika Syarikat, sekali gus menggagalkan impiannya untuk menjadi pengadil pertama dari Somalia bertugas di pentas Piala Dunia.
Artan, yang dinobatkan sebagai Pengadil Terbaik Afrika 2025, sepatutnya menjadi sebahagian daripada barisan pengadil Piala Dunia 2026. Namun, dia ditahan dan tidak dibenarkan memasuki Amerika Syarikat oleh pihak berkuasa imigresen negara itu walaupun memiliki visa yang sah.
Pihak berkuasa Amerika mendakwa terdapat kebimbangan keselamatan berkaitan hubungannya dengan individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan organisasi pengganas, dakwaan yang dinafikannya.
Kepulangan Artan ke Mogadishu mencetuskan gelombang sokongan besar daripada rakyat Somalia. Dia disambut oleh pegawai kerajaan, pemimpin sukan dan ribuan penyokong yang hadir bagi menunjukkan solidariti terhadap tokoh yang dianggap lambang kejayaan negara itu di pentas antarabangsa.
Dalam ucapannya kepada penyokong, Artan menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka dan menganggap apa yang berlaku sebagai takdir.
“Apa yang berlaku sudah berlaku. Saya bersyukur atas sokongan yang diberikan FIFA dan rakyat Somalia,” katanya sambil menggesa golongan muda supaya tidak berputus asa dalam mengejar impian mereka.
Dia turut menegaskan bahawa insiden itu tidak seharusnya mematahkan semangat generasi muda Somalia yang bercita-cita untuk berjaya dalam bidang sukan dan kerjaya profesional.
“Somalia adalah milik kita semua. Sama ada dalam keadaan susah atau senang, jangan pernah hilang harapan terhadap negara kita,” katanya.
Kemuncak sambutan berlangsung di sebuah stadium di Mogadishu apabila ribuan penyokong memenuhi venue berkenaan sambil membawa bendera dan gambar Artan. Mereka menganggap pengadil berusia 34 tahun itu tetap seorang juara walaupun gagal beraksi di Piala Dunia akibat isu imigresen.
Perdana Menteri Somalia, Hamza Abdi Barre, turut memberikan penghormatan kepada Artan dengan menyifatkannya sebagai individu yang berjaya menyatukan rakyat melalui sukan.
“Omar Artan telah menyalakan harapan dalam diri setiap anak muda yang berani bermimpi. Impian mungkin tertangguh, tetapi ia tidak pernah tewas,” katanya.
Kontroversi itu turut mendapat perhatian antarabangsa. Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, menyatakan sokongan terbuka kepada Artan dan memuji pencapaiannya yang berjaya mencapai tahap tertinggi dalam kerjayanya sebagai pengadil bola sepak.
Susulan keputusan tersebut, FIFA mengesahkan Artan tidak akan dapat menjalani latihan mahupun mengadili sebarang perlawanan Piala Dunia 2026 kerana semua pengadil diwajibkan mengikuti program persediaan yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Walaupun impiannya untuk mengadili di Piala Dunia terpaksa ditangguhkan, Artan pulang sebagai simbol kebanggaan rakyat Somalia. Bagi ramai penyokong, pencapaiannya sehingga dipilih FIFA sebagai pengadil Piala Dunia sudah cukup membuktikan bahawa beliau telah mencipta sejarah dan menjadi inspirasi kepada generasi baharu negara itu.