Skuad negara membuka kempen Piala Dunia Hoki FIH dengan langkah kiri apabila tewas 1-5 kepada juara bertahan, Jerman, dalam aksi pertama Kumpulan B di Stade Justin Peeters, Wavre sebentar tadi.
Berdepan pasukan kelima dunia itu, skuad negara jelas bergelut untuk mendapatkan rentak terbaik dan dibolosi seawal minit keempat gara-gara gol pukulan sudut penalti Jakob Brilla sebelum Christopher Ruhr melebarkan kelebihan juara bertahan itu dengan gol padangnya berselang seminit.
Tiga minit selepas itu, Justus Weigand memastikan penguasaan Jerman terus berleluasa dengan satu lagi jaringan padang untuk berkelebihan tiga gol menuju separuh masa.
Malaysia mengecilkan jurang hasil gol pukulan sudut penalti Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-40 tetapi keadaan itu hanya bertahan lima minit sebelum Justus Warweg membolosi gawang The Speedy Tigers.
Paul-Philipp Kaufmann kemudian melengkapkan hari gemilang Jerman dengan satu lagi gol padang pada lewat permainan.