Pasukan hoki Malaysia sekali lagi menghadiahkan kebanggaan buat negara apabila sah layak ke Piala Dunia FIH 2026, menandakan penyertaan kali ke-9 Malaysia di pentas Piala Dunia Hoki.
Kejayaan ini membuktikan bahawa usaha berterusan serta kesabaran dalam membina kekuatan pasukan akhirnya membuahkan hasil.
Advertisement
Di sebalik perjalanan yang penuh cabaran, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) terus komited memperkukuh pembangunan hoki negara serta memastikan skuad kebangsaan kekal kompetitif di peringkat antarabangsa.
Penghargaan juga wajar diberikan kepada Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal, dan pengurusan KHM yang terus komited memacu hala tuju hoki negara dengan memberi kestabilan kepada pengurusan serta pembangunan pasukan kebangsaan.
Pada masa sama, kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa usaha barisan kejurulatihan yang diketuai oleh Sarjit Singh, serta pengorbanan para pemain yang berjuang tanpa mengenal penat demi mengharumkan nama negara.
Penyertaan kali ke-9 ini bukan sekadar statistik, tetapi simbol bahawa Malaysia masih berada dalam peta hoki dunia. Dengan semangat baharu dan keyakinan yang semakin meningkat, skuad negara kini bersedia membawa cabaran Malaysia ke pentas hoki paling berprestij dunia.
Tahniah kepada seluruh warga hoki negara — pengurusan, jurulatih dan pemain.
Piala Dunia menanti dan Malaysia kembali lagi!