Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berdepan kritikan hebat selepas aksi kedua Piala Dunia 2026 antara Korea Selatan dan Czechia berlangsung di hadapan ribuan kerusi kosong, meskipun badan induk bola sepak dunia itu sebelum ini mendakwa menerima permintaan tiket yang tinggi.
Kontroversi itu menimbulkan persoalan mengenai sambutan sebenar terhadap kejohanan yang berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico, terutama selepas Presiden FIFA, Gianni Infantino, mendakwa sebanyak 500 juta permintaan tiket diterima menjelang kejohanan tersebut.
There were swathes of empty seats at the Akron Stadium that were particularly concentrated towards the pitchside VIP section at the centre of the east stand, but patches of red seats could be seen throughout — leaving what looked like thousands of empty seats in total.
Tickets… pic.twitter.com/0WahURehws— The Athletic | Football (@TheAthleticFC) June 12, 2026
Bagaimanapun, siaran televisyen perlawanan di Guadalajara jelas menunjukkan sejumlah besar tempat duduk kosong, khususnya di kawasan premium dan VIP, ketika Korea Selatan bangkit menewaskan Czechia 2-1.
Pengumum stadium memaklumkan seramai 44,985 penonton hadir ke stadium berkapasiti 45,664 tempat duduk itu. Namun visual yang dipaparkan sepanjang perlawanan mencetuskan perdebatan dalam kalangan penyokong dan pemerhati sukan yang mempersoalkan ketepatan angka berkenaan.
Isu harga tiket turut menjadi sasaran kritikan. Walaupun FIFA telah menurunkan harga tiket bagi kesemua 104 perlawanan dalam usaha menarik lebih ramai penyokong, ramai peminat mendakwa harga yang ditawarkan masih terlalu mahal.
Difahamkan, tiket untuk beberapa perlawanan peringkat kumpulan yang kurang mendapat perhatian masih dijual pada harga melebihi ASD300, menyebabkan ramai penyokong memilih untuk tidak hadir ke stadium.
Lebih membimbangkan, ribuan tiket dilaporkan masih tersedia menerusi platform jualan semula rasmi FIFA, termasuk bagi perlawanan pembukaan Amerika Syarikat menentang Paraguay di Los Angeles.
Keadaan itu bertentangan dengan kenyataan Infantino yang sebelum ini menyifatkan permintaan tiket Piala Dunia 2026 sebagai paling tinggi dalam sejarah.
“Kami menerima 500 juta permintaan tiket. Dalam dua Piala Dunia sebelumnya digabungkan, jumlahnya sekitar 50 juta. Kali ini 500 juta,” kata Infantino ketika satu sidang media pada April lalu.
Walaupun isu kehadiran penonton mencuri perhatian, aksi pembukaan di Stadium Azteca, Mexico City berlangsung dalam suasana meriah apabila lebih 83,000 penyokong memenuhi stadium untuk menyaksikan Mexico menewaskan Afrika Selatan 2-0.
Majlis pembukaan turut dimeriahkan dengan persembahan penyanyi terkenal Colombia, Shakira, selain kolaborasi istimewa antara penyanyi Korea Selatan, Ejae, dan tenor terkenal Itali, Andrea Bocelli.
Namun kemeriahan itu dicemari insiden protes dan keganasan di luar stadium.
🇲🇽⚽️🏆🔥 FIFA WORLD CUP 2026:
Scenes from around Mexico City's Estadio Azteca during the opening ceremony and the first match of the 2026 FIFA World Cup. pic.twitter.com/DRr61WUoBr— WAR (@warsurv) June 12, 2026
Ribuan penunjuk perasaan berhimpun di sekitar Mexico City bagi membantah isu kehilangan individu, hak asasi manusia dan keadaan buruh di negara tersebut.
Laporan media tempatan menyatakan beberapa kumpulan bertindak agresif dengan membaling batu, objek keras dan bom petrol ke arah anggota polis yang berkawal berhampiran stadium.
Pada masa sama, sejumlah individu turut cuba memasuki Stadium Azteca tanpa tiket sebelum dihalang oleh pihak keselamatan.
Menurut laporan, sekurang-kurangnya lapan demonstrasi berasingan berlangsung serentak di sekitar Mexico City pada hari pembukaan kejohanan.
Antara kumpulan yang terlibat termasuk pertubuhan keluarga mangsa kehilangan individu, kesatuan guru, pekerja kehakiman persekutuan serta beberapa organisasi pengangkutan.
Apa yang sepatutnya menjadi pesta bola sepak terbesar dunia bertukar menjadi cabaran besar dari sudut imej dan pengurusan bagi FIFA pada hari pertama kejohanan.
Walaupun aksi di atas padang berlangsung dengan lancar, isu harga tiket, kehadiran penonton dan protes besar-besaran di luar stadium kini mengancam untuk menjadi topik utama yang membayangi Piala Dunia 2026 pada hari-hari awal kejohanan.