Michael Olise terus memukau ramai pihak menerusi aksinya bersama pasukan kebangsaan Perancis dalam Piala Dunia 2026.
Menjelang kejohanan itu, Kylian Mbappe secara terbuka memuji rakan sepasukannya itu dengan menyifatkan Olise sebagai "pemain masa kini dan masa depan" buat Perancis.
Ketika bercakap kepada L’Équipe, pemain sayap Bayern Munich itu menyambut pujian dengan dengan penuh rendah diri.
"Ia satu pujian yang amat besar," akui Olise, namun dia enggan menganggap dirinya sebagai bakal pemimpin masa depan skuad Les Bleus buat masa ini.
"Buat masa sekarang, saya adalah pemain untuk masa kini. Jika saya terus bekerja keras dan kekal berpijak di bumi nyata, saya berharap dapat menjadi pemain untuk masa depan," jata bekas bintang Crystal Palace itu.
Mempamerkan aksi luar biasa bersama Bayern Munich dan sudah mula memberikan impak besar buat Perancis, Olise terus mengagumkan ramai pihak dengan kematangan yang ditunjukkannya biarpun baru berusia 24 tahun.
Permulaan langkah yang garang di pentas Piala Dunia kali ini nyata melonjakkan lagi jangkaan tinggi terhadap pemain itu.
Dalam temu bual sama, pemain Perancis itu turut mendedahkan posisi kegemarannya.
Walaupun sering beraksi di posisi sayap kanan, Olise percaya prestasi terbaiknya dapat diterjemahkan di bahagian tengah: "Posisi nombor 10 terasa lebih semula jadi bagi saya."
Olise berjaya membuktikannya ketika memainkan peranan itu sewaktu menentang Senegal, sekali gus membantu Perancis melakar kemenangan 3-1 melalui siri gerakan penting yang dilakukannya dalam babak kedua.
Perancis seterusnya akan menentang Iraq bagi aksi kedua Kumpulan I pagi esok.