Penyerang Perancis, Kylian Mbappe, langsung tidak mengambil hati digelar diktaktor oleh orang ramai termasuk rakan sepasukannya sendiri.
Pendahulu bersama Kasut Emas Piala Dunia 2026 itu mengundang perhatian ramai dengan beberapa lagaknya yang dikaitkan persis seorang pemimpin yang berpengaruh seperti ketika sesi bergambar dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, selain mengarahkan pengadil bagi mewakilinya menyampaikan lilitan ketua pasukan kepada rakan sepasukan.
Lantas, seorang lagi bintang Les Bleus di bahagian serangan, Ousmane Dembele, merujuknya sebagai Mobuto bersempena nama seorang bekas Presiden Zaire, Mobutu Sese Seko.
“Orang ramai memanggil saya diktator? Tidak, ia langsung tidak mengganggu saya. Malah, rakan sepasukan saya dalam skuad Perancis bergurau mengenainya, kami semua hanya ketawa.
"Apabila anda melihat Cristiano Ronaldo, dia dipanggil dengan pelbagai nama semasa di Real Madrid, dan sampai sekarang.
"Orang ramai melabelkannya sombong, mementingkan diri sendiri, egois, dan banyak lagi. Tetapi dia tidak pernah mengambil apa-apa daripadanya secara peribadi atau membiarkannya mempengaruhinya. Sebaliknya, dia menggunakannya sebagai motivasi untuk menjadi lebih baik.
"Saya cuba belajar banyak daripadanya, dan ia benar-benar membantu saya dalam kerjaya saya. Tidak kira apa yang orang katakan tentang saya, terutamanya peminat, saya tidak peduli kerana sama ada anda beraksi dengan baik atau tidak, orang akan sentiasa ada sesuatu untuk diperkatakan.
"Saya telah belajar banyak daripada Ronaldo dan saya akan terus belajar kerana dia sentiasa menjadi idola saya sejak saya kecil.”