Skip to main content

Bola Sepak

Piala Dunia 2026: Jerman tersingkir lagi, krisis gergasi eropah makin membimbangkan

Piala Dunia 2026: Jerman tersingkir lagi, krisis gergasi eropah makin membimbangkan

Kekalahan kepada Paraguay menerusi penentuan penalti dalam pusingan 32 Piala Dunia 2026 bukan sekadar menamatkan kempen Jerman, malah mendedahkan krisis yang semakin membelenggu salah satu kuasa besar bola sepak dunia itu.

Tersingkir sebelum saingan 16 terbaik buat kali ketiga berturut-turut di pentas Piala Dunia menjadi tamparan hebat kepada juara dunia empat kali itu, yang masih gagal bangkit sejak menjulang trofi di Brazil pada 2014.

Lebih memeritkan, Jerman menyaksikan tiga pemain mereka gagal menyempurnakan sepakan penalti iaitu Kai Havertz, Nick Woltemade dan Jonathan Tah, sekali gus memadam reputasi negara itu yang sebelum ini cukup sinonim dengan ketenangan ketika penentuan penalti.

Ia juga meneruskan rekod hambar Jerman di pentas Piala Dunia apabila kali terakhir mereka memenangi perlawanan kalah mati adalah pada final 2014 menentang Argentina.

Sejak kejayaan itu, Jerman mengalami beberapa kekalahan mengejutkan kepada pasukan seperti Mexico, Korea Selatan, Jepun, Ecuador dan kini Paraguay, keputusan yang suatu ketika dahulu sukar dibayangkan berlaku kepada gergasi Eropah itu.

Kegagalan itu turut meletakkan masa depan pengendali Julian Nagelsmann dalam keadaan tidak menentu.

Walaupun jurulatih berusia 39 tahun itu menyatakan hasrat untuk terus membimbing skuad kebangsaan, tekanan semakin memuncak dengan nama bekas pengurus Liverpool dan Borussia Dortmund, Jürgen Klopp, terus dikaitkan sebagai calon pengganti.

Di bawah kendalian Nagelsmann, Jerman memulakan beberapa kejohanan dengan cukup meyakinkan sebelum prestasi mereka merosot apabila berdepan lawan yang lebih berkualiti.

Antara keputusan yang menjadi perhatian ialah tindakan membawa keluar Manuel Neuer daripada persaraan antarabangsa.

Penjaga gol berusia 40 tahun itu dilihat gagal mempamerkan aksi terbaik, terutama ketika menentang Ecuador, manakala kepercayaan berterusan terhadap Leroy Sané turut mengundang kritikan.

Sané diturunkan dalam setiap perlawanan, namun aksi menentang Paraguay menjadi simbol kekecewaan apabila beliau kehilangan bola sebanyak 23 kali dan gagal melepasi mana-mana percubaan gelecek.

Pada masa sama, keputusan merehatkan Jamal Musiala serta perubahan peranan Deniz Undav turut dipersoalkan selepas Jerman bergelut menghasilkan jaringan walaupun menguasai sebahagian besar permainan.

Namun, ramai pemerhati percaya isu sebenar melangkaui soal taktikal.

Jerman dikatakan semakin kehilangan identiti tradisi mereka yang terkenal dengan disiplin, kekuatan fizikal serta mentaliti tidak mudah mengalah.

Sebaliknya, pendekatan permainan yang lebih menekankan penguasaan bola dilihat menghakis identiti yang pernah menjadikan mereka antara pasukan paling digeruni dunia.

Malah, sejak persaraan Miroslav Klose, Jerman masih gagal melahirkan penyerang tulen bertaraf dunia yang mampu menjadi penyudah berbisa di pentas antarabangsa.

Kegagalan Jerman juga menunjukkan jurang kualiti antara kuasa besar dan pasukan lain semakin mengecil.

Negara-negara yang suatu ketika dahulu dianggap sebagai ‘underdog’ kini semakin berani mencabar pasukan elit, menjadikan setiap perlawanan di Piala Dunia jauh lebih kompetitif.

Bagi Jerman, kekalahan kepada Paraguay mungkin bukan sekadar penyingkiran daripada Piala Dunia 2026, tetapi satu isyarat bahawa rombakan besar perlu dilakukan jika mereka mahu kembali menjadi pencabar kejuaraan dalam kejohanan utama dunia.

Anda mungkin berminat dengan

adidas Football Germany 26 Home Pre Match Jersey Men Black JZ4577

adidas Football Germany 26 Home Pre Match Jersey Men Black JZ4577

[NEW] PUMA Portugal Away Jersey Men

[NEW] PUMA Portugal Away Jersey Men

adidas Football Argentina 26 Home Pre Match Jersey Men White JY9530

adidas Football Argentina 26 Home Pre Match Jersey Men White JY9530

adidas Football Spain 26 Home Fan Jersey Men Red JZ5780

adidas Football Spain 26 Home Fan Jersey Men Red JZ5780

adidas Football Argentina 26 Away Jersey Men Black JM8395

adidas Football Argentina 26 Away Jersey Men Black JM8395

Must Watch Video