Asap tebal daripada kebakaran hutan di Kanada menyelubungi sebahagian besar kawasan timur laut Amerika Syarikat, sekali gus mencetuskan amaran kualiti udara menjelang final Piala Dunia 2026 antara Argentina dan Sepanyol di Stadium New York-New Jersey, Ahad ini.
Bagaimanapun, pakar cuaca menjangkakan keadaan akan bertambah baik sebelum sepak mula hasil kehadiran sistem udara sejuk dan hujan yang diramal melanda kawasan itu pada hujung minggu.
Lebih 80,000 penyokong dijangka memenuhi stadium bagi menyaksikan perlawanan akhir, manakala sekitar 50,000 lagi dijangka berkumpul di Central Park, Manhattan, untuk menyaksikan aksi menerusi tayangan skrin gergasi.
Pihak berkuasa New York telah mengeluarkan amaran kesihatan kepada orang ramai supaya mengurangkan aktiviti luar yang berat susulan kemerosotan kualiti udara sejak awal minggu ini.
New Jersey, lokasi stadium final, bacaan kualiti udara pada Khamis berada pada tahap 'tidak sihat untuk kumpulan sensitif'.
Pakar meteorologi AccuWeather, Alex DaSilva, berkata hujan lebat yang diramalkan pada Sabtu dijangka membantu membersihkan udara.
“Hujan yang lebat pada Sabtu akan membantu menghilangkan sebahagian besar asap.
“Menjelang pagi Ahad, satu sistem udara sejuk dijangka memasuki kawasan ini dan menolak keluar baki asap yang masih ada,” katanya.
Gabenor New York, Kathy Hochul, turut menggesa penduduk supaya berada di dalam bangunan sekiranya tidak mempunyai urusan penting kerana keadaan udara yang tidak sihat.
Walaupun keadaan dijangka bertambah baik sebelum perlawanan bermula pada jam 3 petang waktu tempatan, pakar kesihatan memberi amaran gabungan cuaca panas dan pencemaran udara boleh memberi tekanan kepada pemain.
Pakar pulmonologi dan ahli lembaga pengarah American Lung Association, Dr. Vin Gupta, berkata kombinasi suhu tinggi serta asap kebakaran boleh memberi kesan kepada sistem pernafasan dan jantung.
“Kualiti udara yang buruk ditambah dengan cuaca panas boleh memberikan tekanan yang sangat besar kepada tubuh manusia.
“Pemain perlu memastikan suhu badan mereka sentiasa terkawal melalui hidrasi dan proses penyejukan yang mencukupi,” katanya.
Dia turut mencadangkan FIFA mempertimbangkan lebih daripada dua hentian minum yang digunakan ketika ini jika keadaan cuaca bertambah buruk.
Dr. Gupta turut menasihatkan penyokong yang mempunyai penyakit pernafasan, masalah imuniti atau kesihatan kronik supaya memakai pelitup muka jika hadir ke stadium.
Malah, dia menyarankan mereka mempertimbangkan untuk menonton perlawanan dari rumah sekiranya bacaan kualiti udara masih berada pada tahap tidak sihat.
Bagaimanapun, DaSilva kekal optimis bahawa kebanyakan asap akan beransur hilang sebelum sepak mula, sekali gus mengurangkan risiko kepada pemain dan puluhan ribu penyokong yang dijangka membanjiri stadium bagi menyaksikan aksi kemuncak Piala Dunia 2026.