Skip to main content

Bola Sepak

Piala Dunia 2026: FIFA rancang perkenal VAR untuk sepakan sudut

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

Piala Dunia 2026: FIFA rancang perkenal VAR untuk sepakan sudut

FIFA dilaporkan sedang mempertimbangkan penggunaan VAR untuk menyemak keputusan sepakan sudut pada Piala Dunia 2026, satu langkah baharu yang masih belum diterima dalam liga-liga utama di seluruh dunia.

Cadangan tersebut sebelum ini dibentangkan kepada International Football Association Board (IFAB), badan yang mengawal undang-undang bola sepak. Namun, IFAB menolak idea tersebut buat masa ini. Walaupun begitu, FIFA tetap berhasrat menjalankan ujian khas (trial) ketika Piala Dunia 2026 yang bakal berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.

Advertisement

Jika diluluskan, teknologi baharu ini akan mengikuti jejak langkah beberapa inovasi lain yang pernah diuji FIFA melalui kejohanan besar, seperti 'semi-automated offside' dan pengumuman keputusan VAR terus kepada penonton di stadium.

Ketua Pengadil FIFA, Pierluigi Collina, merupakan penyokong kuat kepada cadangan ini. Beliau percaya VAR sepatutnya digunakan untuk membetulkan apa jua kesilapan jelas yang dapat dikenal pasti dengan cepat — termasuk keputusan sepakan sudut.

Collina turut mengimbas kembali insiden final Euro 2016, apabila Portugal diberikan sepakan percuma secara salah kerana dakwaan handball, satu keputusan yang hampir membawa kepada jaringan. Menurutnya, situasi seperti ini membuktikan pentingnya sistem semakan video yang lebih menyeluruh.

Dengan jumlah pasukan terbesar dalam sejarah Piala Dunia, edisi 2026 berpotensi menjadi platform penting untuk FIFA menguji teknologi baharu dan memperhalusi cara VAR digunakan pada masa hadapan.


 

Must Watch Video